Saturday, April 9, 2011

Bomoh Merogol

Awas! Gadis jangan tersilap jumpa bomoh gila seks

ORANG ramai terutama gadis-gadis harus lebih berwaspada dengan individu-individu yang mengaku boleh menyembuhkan segala jenis penyakit. - GAMBAR HIASAN

KAUM Hawa tidak kira usia, sering tertipu dalam berurusan dengan bomoh. Padahal niat mereka berjumpa bomoh semata-mata sebagai ikhtiar untuk mengubati penyakit setelah rawatan moden menemui jalan buntu.

Namun, ikhtiar untuk sembuh hanya membawa padah kepada diri sendiri. Sembuhnya tidak, tetapi akibat usahanya telah menjadi kes polis dan dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan. Intipati kes begini ialah mangsa telah dicabuli dan dirogol oleh si bomoh. Maka keadilan dituntut untuk menghukum si bomoh itu.

Aku tidak banyak berpeluang untuk meliputi perjalanan kes membabitkan tertuduh, si bomoh. Tetapi, aku masih ingat satu kes yang mangsanya seorang wanita berusia lewat 20-an memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa dia pergi bertemu bomoh untuk mengubati jiwanya yang tidak tenteram.

''Saya ditemani rakan serumah bertemu bomoh di sebuah hotel murah di Chow Kit," kata mangsa. Ketika itu galeri awam dalam mahkamah dipenuhi dengan hadirin yang ingin tahu kes tersebut. Mangsa menceritakan, dia dipanggil masuk ke bilik bomoh itu sementara rakannya menunggu di luar.

Kata mangsa, dia disuruh oleh bomoh itu menanggalkan pakaian dengan alasan untuk melihat jika terdapat sebarang tanda pada tubuhnya.

Pada peringkat ini, mahkamah mengarahkan orang awam keluar kerana perbicaraan akan diadakan secara tertutup. Aku terpaksa melangkah keluar dari mahkamah.

Namun selepas itu, aku terdengar beberapa anggota polis yang bertugas dalam mahkamah masa itu sosek-sosek sesama sendiri bahawa mangsa telah dirogol walaupun tidak melawan.

Usia mangsa telah melepasi 21 tahun, dan hujah peguam bela bahawa mangsa tahu tindakan bomoh itu. Ini dianggap dia melakukan perbuatan itu dengan kerelaan mangsa.

Mahkamah kemudian membebaskan tertuduh. Mangsa pastinya telah menangis sendirian. Aku berasa kasihan terhadap kaum sendiri tetapi terlintas di hatiku, mengapa mangsa tidak berfikir dengan waras ketika kejadian berlaku. Sebaliknya, dia membiarkan dirinya ditipu dan diperkosa.

Dan, undang-undang menerima bukti bahawa mangsa melakukan perbuatan itu dengan kerelaan dan tiada paksaan daripada tertuduh.

Namun, ada kes yang benar-benar menganiaya kaum Hawa. Ibu bapa perlu lebih berwaspada apabila berikhtiar bertemu bomoh untuk mengubati penyakit anak gadis sendiri.

Di sebuah Mahkamah Sesyen, Johor Bahru, lebih tiga tahun lalu, seorang bomoh dipenjarakan sembilan tahun kerana didapati bersalah merogol mangsa bawah umur, 16 tahun. Kisahnya, mangsa telah berkunjung ke rumah bomoh itu untuk mendapatkan rawatan mandi tolak bala.

Aku memetik satu lagi kes untuk dijadikan renungan dan dijadikan teladan, terutama demi mengawasi keselamatan anak-anak gadis sendiri.

Di Mahkamah Tinggi Shah Alam, empat tahun lalu, hakim telah menolak rayuan seorang bomoh yang dikenali sebagai 'ustaz' dan mengekalkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan 18 kali.

Hakim menolak rayuan bomoh berkenaan setelah mahkamah mendapati terlalu banyak fakta yang menyelubungi kes itu, tidak memihak kepadanya.

Ceritanya, bomoh itu dikatakan bukan hanya merogol mangsa iaitu gadis remaja yang merupakan sahabat kepada anak perempuannya sendiri. Lebih membangkitkan kemarahan insan biasa ialah, tertuduh ini menumpang bermalam di rumah ibu bapa mangsa.

Dia mengaku dirinya bomoh dan mahu merawat mangsa yang mengalami sakit-sakit badan dan pinggang akibat senggugut.

Aku memetik kata-kata mutiara hakim: ''Perayu telah mengambil kesempatan terhadap mangsa yang masih muda. Mengaku bomoh adalah perbuatan yang menjijikkan, begitu juga penipuan tentang nikah batin. Tegas hakim bahawa mahkamah tidak boleh bertolak ansur dengan pembohongan dan lelaki itu perlu dikenakan hukuman setimpal.''

Sementara itu, satu kes di Mahkamah Rayuan, Putrajaya, enam tahun lalu, seorang bomoh berjaya mengurangkan hukuman penjara kepada 11 tahun atas kesalahan merogol dua mangsa gadis remaja. Di peringkat perbicaraan, dia dihukum penjara 20 tahun.

Hukuman dikurangkan kerana fakta menunjukkan bahawa kedua-dua mangsa telah melakukan hubungan seks dengan tertuduh secara sukarela tanpa paksaan, malah mereka mengikut bomoh itu untuk bersiar-siar.

Seorang warganegara Indonesia yang mendakwa dirinya bomoh juga pernah diheret ke Mahkamah Sesyen Seremban kerana dituduh merogol dan mencabul tiga orang mangsa, tujuh tahun lepas.

Perbezaan kes yang aku paparkan ini sekadar untuk kita renungkan dan menimbangkan sewaras-warasnya dakwaan seseorang bomoh sama ada boleh melakukan rawatan. Undang-undang hanya memastikan keadilan berlandaskan fakta yang dikemukakan.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment