Thursday, April 14, 2011

Pengalaman Manis Di Hospital Serdang

Pengalaman manis di Hospital Serdang

AMIRA
Serdang, Selangor

SAYA tertarik dengan luahan hati Saudara Izhar dalam ruangan Forum pada 13 April 2011.

Saya tidak berniat untuk menidakkan kekesalan beliau atau sengaja untuk memihak kepada pihak yang dikesalkan, tetapi sekadar terpanggil untuk berkongsi pengalaman dua kali bersalin di hospital berkenaan, sekali secara pembedahan pada tahun 2007 dan kali kedua pada bulan Februari yang lalu secara normal.

Antara kedua-duanya, pengalaman bersalin anak kedua paling diingati kerana seperti yang semua sedia maklum, bersalin normal pasti mengambil masa yang panjang. Berikut ialah pengalaman sepanjang melalui detik-detik kedua-dua kelahiran tersebut:

Dalam keadaan sakit menahan saya disapa oleh petugas kaunter dengan baik walaupun dia tidak pun senyum. Hal ini saya faham kerana pastinya dia keletihan melayan pesakit yang datang bertali arus bersama rombongan (keluarga) dan ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 2 pagi.

Saya diminta masuk ke bilik untuk pemeriksaan kencing, denyutan nadi bayi, mengimbas serta diberi bantuan alat pernafasan. Untuk setiap prosedur tersebut saya bertanya akan keperluannya dan pertanyaan saya dijawab dengan baik, berhemah dan jelas oleh jururawat dan doktor bertugas.

Dalam tempoh empat jam menunggu bukaan saya sampai ke lapan sentimeter sebelum diusung ke dewan bersalin, jururawat ada meninjau keadaan saya tiga hingga empat kali. Ketika itu saya sempat mengimbas semula pengalaman saya dan suami menyertai kelas bersalin anjuran hospital yang sama setiap Khamis.

Pengetahuan tersebut sangat membantu saya mengharungi tempoh 'contraction' yang lama dan memberi kesediaan daripada segi mental untuk saya mengharungi pula proses bersalin yang digambarkan oleh kawan-kawan, menyakitkan.

Di dewan bersalin, saya dilayan dengan baik. Saya diajar oleh jururawat cara meneran yang betul walaupun saya sudah ketahui semasa kelas bersalin. Kemudian, saya diajar sekali lagi oleh doktor yang tiba kemudiannya. Air ketuban saya dipecahkan dan pada masa yang sama drip diberi.

Saya diberi penerangan akan keperluannya. Alhamdulillah, sejam selepas itu, saya selamat melahirkan anak kedua. Saya diminta menyusukan anak, bukan satu masalah buat saya kerana itu anak kedua.

Tetapi sebenarnya, semasa kelahiran anak pertama secara pembedahan saya tidak begitu kekok memegang anak saya kerana telah diajar semasa kelas penyusuan ibu yang juga ada diadakan untuk bakal ibu di Hospital Serdang.

Semua layanan baik dan mesra itu saya terima daripada para petugas Hospital Serdang walaupun saya bukan VIP, apatah lagi VVIP yang lebih suka melaburkan duit di hospital swasta dan itu adalah hak dan pilihan masing-masing

Setiap orang pasti lain pengalamannya, tetapi itulah pengalaman manis saya di Hospital Serdang. Terima kasih semua, bantuan anda akan saya ingat selalu.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

1 comment:

  1. assalam...saya juga pernah bersalin di Hospital Serdang...anak pertama dan kedua...semasa bersalin anak pertama jururawat yang menyambut bayi saya cukup lembut...bahasa nya cukup baik...masa jahit pun di buat selembut yang mungkin...masa anak kedua saya tiba di hospital bukaan dah penuh...terus masuk dewan bersalin...10 minit kemudian anak saya dilahirkan dengan selamatnya...sekarang ni tengah tunggu masa untuk bersalin anak ketiga...baru masuk 36 minggu...GL dah ambil dan semestinya Hospital Serdang menjadi pilihan saya........

    ReplyDelete