Artikel ini hanyalah copy and paste dari website akhbar tempatan ataupun dari website individu. Semua kisah misteri, luar biasa , lucu dari dalam dan luar negeri akan dikumpulkan dalam blog ni. Harap anda terhibur dari segala macam ragam manusia.
Saturday, April 9, 2011
Gadis Biasa Jadi Permaisuri
Tuah gadis biasa dari Kuwait
Oleh ROHANA MAN
rohana.man@utusan.com.my
PERMAISURI Rania dan Raja Abdullah bersama tiga daripada empat anak mereka.
TUAH ayam nampak di kaki, tuah orang siapa yang tahu. Begitulah 'rezeki' Rania Al-Yaseen yang kemudian dikenali Rania Al-Abdullah selepas berkahwin dengan Putera Mahkota Jordan ketika itu, Raja Abdullah Al-Hussein.
Sebelum bertemu jodoh, Rania hanyalah gadis biasa yang lahir pada 31 Ogos 1970 di Tulkarm, Kuwait, bersekolah di New English School di Jabriya sebelum melangkah kaki ke Universiti Amerika di Cairo. Selepas tamat pengajian, anak gadis kepada pasangan Faisal Sedki Al-Yaseen dan Ilham Yassin itu kembali ke tanah air dan bekerja di bahagian pemasaran Citibank, sebelum berhijrah ke Apple Inc. di Amman.
Siapa sangka gadis biasa ini akan menjadi Permaisuri Jordan pada satu hari nanti. Segalanya bermula pada majlis makan malam yang turut dihadiri Abdullah pada Januari 1993. Ketika itu Rania berusia 22 tahun. Wajah jelitanya berjaya mencuri pandangan sekali gus memikat hati Abdullah. Dua bulan kemudian, mereka mengumumkan pertunangan dan diijab kabul pada 10 Jun 1993. Pasangan diraja itu dikurniakan empat cahaya mata iaitu Putera Mahkota, Hussein (lahir 28 Jun 1994), Puteri Iman (27 September 1996), Puteri Salma ( 26 September 2000) dan Putera Hashem (30 Januari 2005).
Beberapa tahun kemudian, Raja Hussein yang gering membuat pengumuman mengejutkan iaitu menamakan Raja Abdullah sebagai penggantinya. Sedangkan beliau mempunyai anak lelaki yang lebih tua daripada Raja Abdullah. Berikutan itu, Rania yang baru berusia 28 tahun menerima gelaran permaisuri termuda di dunia pada 22 Mac 1999 . Suaminya menaiki takhta pada 7 Februari 1999.
Sejak berkahwin, Rania menggunakan kedudukannya sebagai permaisuri untuk memperbaiki taraf hidup rakyat dalam pelbagai sektor. Beliau amat mementingkan perkembangan pendidikan dan pembelajaran. Justeru, tidak hairanlah beliau kerap menemui Menteri Pendidikan Jordan, untuk berbincang mengenai pembangunan pendidikan di negara itu.
Misalnya, pada Oktober 2005, melalui Kementerian Pendidikan, beliau melancarkan anugerah tahunan guru cemerlang yang dinamakan Queen Rania Award for Excellence in Education. Beliau juga dilantik menjadi Pengerusi Muzium Interaktif untuk Kanak-kanak yang pertama di Jordan yang dibuka pada Mei 2007. Setahun kemudian iaitu pada April 2008, beliau melancarkan pula Madrasati (Sekolah Saya), melibatkan kerjasama awam dan swasta untuk membersihkan 500 sekolah awam di negara itu dalam tempoh lima tahun.
Di peringkat pengajian tinggi pula, program biasiswa Permaisuri Rania digerakkan dengan kerjasama beberapa universiti di seluruh dunia.
Bukan sahaja bidang pendidikan yang menjadi tumpuannya, malah Rania juga aktif dalam perkembangan komuniti, belia dan agenda global.
Sepanjang menjadi permaisuri, Rania sentiasa menjadi tumpuan ramai sama ada di dalam negara, mahupun di luar negara. Gaya berpakaian dan personaliti yang dibawanya benar-benar menggambarkan beliau layak berada di kedudukannya sekarang iaitu sebagai isteri, ibu dan permaisuri kepada rakyat Jordan.
Rania dikenali bukan sahaja kerana kejelitaannya, malah beliau juga seorang yang mementingkan penampilan diri yang hebat. Gaya dan pilihan fesyen pakaian yang membalut tubuhnya kena dan bertepatan dengan setiap tema majlis yang dihadirinya. Ia membuatkan sesiapa sahaja akan memandangnya berkali-kali.
Memang beliau seorang yang bertuah kerana kejelitaan yang dimilikinya tidak 'kosong' kerana beliau juga seorang yang berpendidikan tinggi.
Tidak hairanlah, beliau menjadi idola kepada banyak wanita dunia yang mahu mengikut jejaknya sebagai seorang isteri, ibu dan ratu kepada rakyat Jordan yang cemerlang.
Selain menjalankan tanggungjawab di dalam negara, Rania juga sering menerima jemputan persidangan dunia dalam pelbagai tema termasuk ekonomi, alam sekitar dan kemanusiaan. Malah, beliau juga kerap dijemput menyampaikan ucaptama pada majlis tertentu termasuk persidangan ekonomi dan kemanusiaan di peringkat global.
Bukan setakat peserta biasa, malah Rania dilantik sebagai panel bagi sesi plenari dan perbincangan pelbagai topik seperti korporat, belia, reformasi pendidikan, wanita dan multi-budaya.
Beliau turut memiliki bakat menulis yang mana buku terbarunya bertajuk The Sandwich Swap. Kelahiran buku itu menarik minat Oprah Winfrey yang menjemputnya menjadi tetamu dalam rancangan bual bicaranya pada 23 April 2010. Dalam rancangan itu, Rania memperkatakan tentang buku itu dan kehidupannya sebagai Permaisuri Jordan.
Buku lain yang ditulisnya ialah The King's Gift, Eternal Beauty dan Maha of the Mountains.
Seiring dengan kehidupan moden dalam arus perdana perkembangan teknologi maklumat, Rania tidak ketinggalan memiliki blog sendiri, selain membuka akaun Facebook dan Twitter. Beliau juga sering menggunakan saluran YouTube untuk menyampaikan sesuatu kepada rakyat.
Meneliti kehidupannya itu, bolehlah kita anggap bahawa Tuanku Permaisuri Rania Al-Abdullah seorang yang bertuah di muka bumi ini.
Namun setiap 'titian emas' yang dilaluinya, pasti ada cabaran dan fitnah. Begitulah Rania yang dituduh oleh pihak yang tidak menyukainya sebagai seorang yang rasuah dan menggunakan 'kuasa' untuk menambah kekayaan keluarga, sekali gus mengamalkan nepotisme.
Akhbar The Los Angeles Times pernah menyiarkan artikel mengenai rasuah yang dilakukan Rania apabila dituduh memberi tanah kepada kaum keluarganya.
Begitulah kehidupan, tidak akan tenang selamanya, selagi ada pihak-pihak tertentu menyebarkan khabar yang mungkin benar dan mungkin tidak.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment