Sunday, April 24, 2011

Keldai Dadah

Risiko keldai dadah

Oleh Hafizahril Hamid


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, ACP Nordin Kadir (kiri) bersama pegawainya menunjukan dadah yang disorok dalam kasut dan berjaya dirampas daripada dua lelaki warganegara Iran di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Julai tahun lepas.

MENURUT statistik, penglibatan warga Iran dalam kegiatan pengedaran dadah di Malaysia menunjukkan peningkatan ketara dalam masa dua tahun ini dengan 138 rakyat negara itu diberkas tahun lepas berbanding 16 tangkapan pada tahun 2009. Daripada jumlah itu, 121 tangkapan terdiri daripada "keldai dadah", iaitu orang yang dipergunakan untuk membawa dadah, dan bakinya disyaki pengendali dan anggota sindiket dadah.

Dadah jenis syabu pula diseludupkan menggunakan kargo udara iaitu penerbangan dari Teheran melalui transit di Emiriah Arab Bersatu, Armenia, Qatar dan Sri Lanka sebelum tiba di Malaysia. Pastinya kegiatan pengedaran dadah mencacatkan nama baik negara itu.

Namun Iran juga seperti kebanyakan negara-negara lain tetap berhadapan dengan masalah penduduk miskin yang kemudiannya cuba mencari jalan mudah dengan mengedar dadah. Pendapatan sebagai petani diibaratkan 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' dikenal pasti punca menyebabkan ramai warga Iran sanggup menjadikan diri sendiri sebagai 'kurier' untuk membawa dadah ke Malaysia kerana upah yang lumayan.

Mangsa Facebook

Selain itu laman sosial Facebook telah disalah gunakan oleh sindiket dadah antarabangsa untuk mencari gadis-gadis tempatan untuki direkrut sebagai keldai dadah ke luar negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, Facebook adalah taktik terbaru dikenal pasti digunakan oleh sindiket dadah antarabangsa untuk merekrut rakyat Malaysia bagi dijadikan keldai dadah. Melalui laman sosial ini, sindiket menggunakan ahli-ahli di kalangan lelaki tempatan akan mencari kenalan wanita dan memikat mereka sehingga jatuh cinta.

Wanita tempatan terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk pelajar, golongan profesional dan ada juga di kalangan janda akan dilayan dengan baik sekali sepanjang tempoh bercinta apabila diberikan hadiah barang-barang mewah serta dibawa melancong ke luar negara.

Setelah yakin wanita terbabit mempercayai mereka, anggota sindiket akan mengambil kesempatan itu memperdayakan mangsa untuk membawa dadah ke luar negara sehingga akhirnya tertangkap dan meringkuk dalam penjara.

Berikutan itu adalah pemandangan biasa jika kita melihat bandar di sempadan Iran seperti Zahedan yang terletak di dalam wilayah Seistan-Baluchistan menjadi tapak penyeludupan utama.

Walaupun gambar Ayatollah Khomeini memenuhi bandar ini, namun sebaik matahari melabuhkan tirainya, aktiviti pemunggahan dan penyeludupan dadah berleluasa walaupun ada masanya trak yang membawa dadah dan anggota polis sering saja berselisih di jalanan.

Dari bandar Zahedan, harga sekilo candu hanya sekitar AS$100 (RM320) sebelum meningkat kepada AS$600 (RM1,920) di Teheran. Harga ini meningkat berkali ganda kepada AS$2,400 (RM7,680 ) apabila tiba di Turki. Candu ini kemudiannya akan diperhalusi menjadi heroin dengan menggunakan asetik anhidrid.

Pasaran

Bagi harga pasaran di Eropah pula heroin yang mempunyai ketulenan sekitar 35 peratus, dijual pada harga AS$30 (RM96) sekilogram. Menariknya 90 peratus dadah yang digunakan di Eropah datangnya dari Afghanistan. Proses ini dijalankan cukup teratur dari mula ia ditanam oleh petani-petani miskin di Afghanistan yang kemudian di seludup ke sempadan Iran sebelum menjadi satu perniagaan yang cukup menguntungkan dari Eropah hinggalah Malaysia.

Dalam penyelesaian masalah ini kesukaran timbul akibat dari Afghanistan itu sendiri terlalu bergantung kepada perniagaan dadah. Usaha untuk menggantikan tanaman berkaitan dadah ini masih gagal akibat dari kurangnya bantuan dan kesungguhan dari negara-negara Barat membantu. Ditambah pula dengan kedudukan Iran yang dilabel sebagai negara paksi kejahatan, pastinya negara seperti AS tidak akan bersungguh dalam membantu menyelesaikan masalah penyeludupan dadah.

Yang pasti, akibat dari keinginan untuk keluar dari kemiskinan dan mencari kemewahan singkat menyeludup dadah, mengakibatkan manusia sanggup merentas benua dan sempadan malah berkorban nyawa di tali gantung.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment