Kemewahan dua warga Iran terbongkar
KUALA LUMPUR 10 April - Rahsia kemewahan dua lelaki warga Iran yang mampu membeli sebuah kereta BMW M3 dan sebuah rumah kondominium terbongkar selepas mereka ditahan polis ketika sedang mengedar dadah jenis syabu di Seri Kembangan di sini kelmarin.
Kedua-dua suspek berusia 47 dan 38 tahun itu ketika tiba di negara ini setahun lalu dikatakan hanya mampu menginap di hotel bajet.
Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias berkata, warga Iran tersebut antara empat suspek termasuk seorang warga Pakistan dan India yang ditahan kerana dipercayai sindiket pengedaran dadah antarabangsa.
Menurutnya, keempat-empat suspek itu ditahan dalam satu serbuan yang dilakukan di sebuah hotel bajet di pekan Seri Kembangan di sini pada pukul 8.15 malam.
"Dalam risikan di hotel tersebut, kita mendapati dua warga Iran yang menaiki sebuah kereta BMW telah memberi satu bungkusan berisi tin biskut dan kotak makanan ringan kepada lelaki Pakistan dan India di hadapan hotel.
"Apabila bungkusan itu dibawa ke bilik oleh suspek masing-masing berusia 26 dan 27 tahun, kita telah membuat serbuan dan menemui kedua-dua bungkusan berkenaan yang berisi syabu seberat 680 gram," katanya di sini hari ini.
Tambahnya, siasatan awal mendapati warga Iran tersebut telah membeli kereta BMW M3 dan sebuah rumah sepanjang berada di sini walaupun pekerjaan mereka tidak menentu.
Katanya, kedua-dua warga Iran terbabit dipercayai menggunakan warga Pakistan dan India itu untuk melakukan pengedaran dadah kepada penagih-penagih di sekitar kawasan terbabit.
Menurutnya, dadah yang dirampas bernilai RM60,000 manakala keempat-empat suspek disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.
No comments:
Post a Comment