Sunday, April 24, 2011

Kekuasaan Allah

Tanda kekuasaan Allah di angkasa lepas

ANGKASAWAN pertama Malaysia, Dr. Sheikh Muzaffar menceritakan dalam program Dari Mata Ke Hati di saluran Astro Oasis baru-baru ini, beliau begitu terasa kebesaran Allah SWT apabila melihat bumi sebuah objek yang sangat kecil dari pandangan matanya di angkasa lepas.

Jika bumi itu hanyalah sebuah objek yang kecil, betapa halusnya manusia di sisi Allah Yang Maha Besar.

Sebab itulah kita disuruh melihat langit dan bintang supaya akhirnya kita berfikir tentang kebesaran dan kekuasaan Allah yang telah mencipta alam semesta yang begitu hebat pada pandangan mata dan akal fikiran. Dan Allah juga berfirman dalam Quran bahawa Dia telah mencipta tujuh lapis langit dan segala makhluk di antaranya termasuk malaikat, jin dan manusia.

Maka Dia menjadikannya tujuh langit dalam dua masa. Dia mewahyukan pada tiap-tiap langit urusannya. Dan Kami hiasi langit yang dekat dengan bintang-bintang yang cemerlang dan Kami memeliharanya dengan sebaik-baiknya. Demikianlah ketentuan Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui. - Al Fushilat (41): 12

Suatu masa dulu umat Islam agak ke depan dalam ilmu astronomi atau kajian angkasa lepas. Bagaimanapun kita terkebelakang sekarang setelah umat-umat lain menyedari kepentingan cabang ilmu ini, lalu mereka mencedok pengetahuan yang dipelopori umat Islam dan terus memajukannya hingga ke zaman sekarang.

Akhirnya mereka mencipta pesawat-pesawat untuk meneroka angkasa lepas dan kini menguasai kekuatan strategik angkasa bagi tujuan ketenteraan dan telekomunikasi yang membolehkan mereka menjadi kuasa besar dunia.

Terima kasih kepada Tun Dr. Mahathir Mohamed kerana menyedari kepentingan strategik ini , lalu menggerakkan usaha untuk membolehkan Malaysia turut membuka langkah bagi membolehkan negara menceburi bidang ini.

Ia satu anjakan kecil, tetapi setiap perjalanan yang jauh bermula dengan langkah pertama. Pemergian Sheikh Muzaffar di atas tajaan kerajaan adalah sebahagian daripada langkah pertama program angkasa lepas Malaysia, walaupun beliau hanya menumpang pesawat orang lain.

Kuasa besar Amerika Syarikat telah menghantar angkasawannya mendarat di bulan, tetapi itu bukanlah pencapaian yang hebat dibandingkan dengan pengalaman Rasulullah SAW yang telah sampai ke langit ketujuh dalam perjalanan Israk dan Mikraj yang memakan masa hanya satu malam.

Di sebalik kehebatan perkembangan sains dan teknologi penerokaan angkasa pada hari ini, pesawat yang dicipta masih belum melewati langit pertama. Malah belum ada lagi saintis yang dapat menghuraikan apa yang dimaksudkan oleh Maha Pencipta tentang kewujudan tujuh lapis langit itu.

Adakah ia bermaksud tujuh sistem planetari yang setiap satu mempunyai matahari, atau ada tujuh lapisan langit di atas planet bumi, atau ia satu dimensi di luar pencapaian akal manusia? Dengan menggunakan teropong teleskop yang semakin kuat cerapannya, saintis tanpa kesudahan sentiasa menemui bintang baru.

Begitulah kekuasaan Allah yang tidak boleh dicapai oleh pengetahuan manusia kerana ia bersifat infiniti atau tiada berhujung. Dia yang awal dan Dia yang akhir adalah gambaran infiniti-Nya.

Ilmu sains juga mendapati sehalus-halus zat yang boleh dicapai oleh penglihatan manusia melalui mikroskop ialah atom. Namun pada hari ini ada ahli fizik mendapati bahawa di sebalik nukleus atom yang diselaputi proton dan neutron masih ada lagi sesuatu yang aktif tanpa penghujung dan tidak boleh dicapai dengan penglihatan.

Maha Suci Allah yang zat-Nya tidak boleh dikaji dan dicapai dengan penglihatan manusia sekalipun dengan menggunakan teleskop atau mikroskop paling kuat cerapannya. Itulah bukti bahawa segala yang ada di antara tujuh langit adalah di bawah 'genggaman' Allah yang Maha Berkuasa. Dia juga Maha Besar dan Maha Ghaib.

Jika berdasarkan hukum logik, maka pengalaman Rasulullah naik ke langit ke tujuh adalah mustahil kepada akal manusia pada hari ini, apatah lagi pada zaman manusia menunggang unta dan kuda dulu. Tetapi jika Allah menghendakki sesuatu berlaku, ia tetap akan berlaku.

Rasulullah telah melihat sesuatu yang Allah hijabkan kepada manusia lain. Hanya kepada rasul-rasulnya sahaja Allah bukakan sesuatu yang amat ghaib untuk memperkukuh iman mereka bagi menyampaikan risalah tauhid kepada umat manusia yang mahu beriman. Pengalaman yang Allah berikan kepada rasul-rasul ini adalah berbeza.

Allah menceritakan dalam Surah Al Araaf tentang Nabi Musa yang mahu melihat-Nya, sesuatu yang tidak mungkin berlaku di dunia ini kerana ia adalah anugerah paling istimewa yang disediakan hanya untuk orang-orang beriman di akhirat kelak.

Lalu Allah wahyukan kepada Nabi Musa supaya memandang sebuah gunung. Apabila Nabi Musa melemparkan pandangannya ke arah gunung itu, apa yang disaksikannya adalah tidak syak lagi tanda kewujudan dan kekuasaan Allah. Gunung itu serta-merta runtuh dan hancur lebur menyebabkan Nabi Musa jatuh pengsan.

Adakah kita manusia biasa akan memperoleh pengalaman, jika tidak sehebat para nabi itu, sekurang-kurangnya sesuatu yang akan memperkukuh keyakinan kita terhadap Allah.

Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka. - Ali Imran (3): 190, 191

Maksud ayat-ayat ini, yakinlah dengan sebenar-benar keyakinan bahawa neraka itu wujud. Jika Allah boleh menjadikan tujuh langit dan berjuta bintang yang pengetahuan mengenainya tidak berkesudahan dan sangat kompleks bagi manusia, tentulah amat mudah bagi-Nya untuk mencipta syurga dan neraka yang disediakan bagi manusia dalam kehidupan akhirat kelak.

Maka yakinlah kepada Allah dengan sebenar-benar keyakinan. Mudah-mudahan kita akan diberikan pengalaman yang akan memperkukuh iman kita. Setidak-tidaknya kita akan berasa gementar apabila mengingati Allah.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah mereka yang apabila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka (kerananya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal. - Al Anfaal (8): 2

Gementar hati kerana terasa kehampiran Allah Yang Maha Besar lagi Maha Agung. Maka luluh perasaannya, berpeluh sejuk tubuhnya dan mengalir tidak berhenti-henti air matanya kerana amat terasa kedaifannya. Itulah tanda seseorang telah beriman.
TAJUK-TAJUK BERITA LAI

No comments:

Post a Comment