Tarian poco-poco: Jangan sampai umat Islam keliru
NAMPAKNYA umat Islam negara kita terus diuji secara bertalu-talu dan secara berterusan di mana satu demi satu perkara menjadi isu dan perlu dibuat perhitungan antara halal dan haram. Belumpun reda isu makanan halal di hotel yang kecoh seluruh negara sebelum ini, kini kita dikejutkan pula dengan isu pengharaman tarian poco-poco di negeri Perak.
Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak (JFNP) dilaporkan membuat keputusan itu setelah melakukan kajian mendalam mengenai pelbagai aspek tarian itu daripada sudut hukum Islam. Menurut Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, keputusan JFNP itu bukan dibuat sesuka hati tetapi untuk menjaga akidah umat Islam di negeri tersebut selepas mendapati poco-poco mengandungi unsur agama lain, selain berlaku percampuran jelas antara lelaki dan wanita bukan muhrim.
Seperti biasa, keputusan seumpama ini terus mengundang pelbagai kontroversi dan cakap-cakap di mana sehingga sekarang hanya negeri Perak sahaja yang menguatkuasakan pengharaman ini. Sebaliknya negeri-negeri lain belum mahu membuat sebarang keputusan yang muktamad dan lebih suka untuk mengambil jalan tunggu dan lihat serta dilaporkan akan membuat kajian yang mendalam selepas ini.
Pada masa yang sama, Majlis Fatwa Kebangsaan juga dilaporkan tidak mahu terburu-buru. Menurut pengerusinya, Prof. Tan Sri Dr. Abdul Shukor Hussin, buat masa ini belum ada cadangan untuk mengharamkan tarian tersebut di peringkat nasional, sebaliknya akan mengadakan kajian menyeluruh terlebih dahulu walaupun pengharaman telah dilaksanakan di negeri Perak.
Situasi yang tidak menentu sebegini dilihat mula mencetuskan pelbagai tanda tanya dalam kalangan umat Islam seluruh negara. Hal ini kerana tarian poco-poco yang berasal dari Filipina ini dilihat telahpun mencetuskan satu fenomena baru di negara kita.
Sebut sahaja apa bentuk program kesihatan mahupun kecergasan baik di peringkat nasional mahupun di peringkat kampung tarian poco-poco dilihat sudah menjadi acara wajib sebagai platform senaman dan dengan mudahnya dapat menarik minat para peserta program terbabit.
Justeru pengharaman tarian ini sekali lagi menyebabkan umat Islam dilanda perasaan was-was dan tidak pasti sama seperti dalam kes makanan halal di hotel tempoh hari.
Maka kita berharap sangat agar pihak yang bertanggungjawab seperti Majlis Fatwa Kebangsaan, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) segera membuat satu keputusan yang muktamad yang seragam. Seterusnya hebahkan keputusan itu untuk pengetahuan seluruh umat Islam di negara ini agar isu tarian poco-poco ini dapat diperjelaskan dengan sewajarnya.
Sesungguhnya soal halal dan haram ini adalah suatu perkara yang perlu diseragamkan penguatkuasaannya, dan bukan terhad kepada amalan di sesebuah negeri tertentu sahaja secara berasingan mengikut kuasa masing-masing. Ia melibatkan kepentingan awam dan agenda nasional yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam.
Andai ia jelas haram maka perkara ini perlu dimuktamadkan dan dilaksanakan secara tegas di seluruh negara. Sebaliknya jika ia didapati tiada masalah dari segi hukum Islam maka ia juga perlu diperjelaskan dan diseragamkan di semua negeri.
NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED
Serdang, Selangor
TAJUK-TAJ
No comments:
Post a Comment