Tiga pencari madu disengat beratus ekor lebah
MOHD. Badri Md. Rawi (kiri) menunjukkan kesan sengatan lebah pada bibir rakannya, Osman Dali di rumahnya di Kampung Telok Perah, Kuala Pegang, Baling, semalam.
BALING 8 April - Tiga pencari lebah nyaris maut disengat beratus-ratus ekor lebah semasa mahu mengambil madu lebah di Bongi dekat Keledang, Kuala Pegang, di sini petang semalam
Mangsa terbabit, Mohd. Badri Md. Rawi, 40, dan Osman Dali, 39, serta Mohd. Yusof Abdul Raof, 46, dari Kampung Telok Perah, Kuala Pegang mengalami kecederaan di bahagian kepala, bibir dan telinga.
Ketiga-tiga mereka berada di bawah pokok yang mempunyai ketinggian 30 meter yang menjadi tempat lebah berkenaan berkumpul.
Menurut Mohd. Badri, kejadian berlaku kira-kira pukul 5 petang semasa dia dan rakan-rakan sedang memasang buluh sigai untuk mengambil madu apabila secara tiba-tiba beratus lebah mula menyerang mereka.
"Kami tidak dapat berbuat apa-apa apabila diserang secara tiba-tiba menyebabkan kami terpaksa menahan kesakitan yang amat sangat," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini hari ini.
Mohd. Badri berkata, akibat kejadian itu, dia dan rakan-rakan terpaksa lari meninggalkan kawasan berkenaan untuk menyelamatkan diri," ujarnya yang masih menahan kesakitan.
Seorang lagi mangsa, Osman Dali berkata, akibat diserang bertalu-talu dia tidak dapat berbuat apa-apa kecuali menahan sakit sambil berlari namun mereka terus diserang.
"Walaupun kami berlari menyelamatkan diri, lebah itu masih menyerang sehingga kami terpaksa menahan sakit sebelum memasang unggun api bagi mengelak terus diserang," katanya.
Osman terpaksa mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Baling, malam tadi.
Kesemua mereka adalah antara pencari lebah berpengalaman yang mampu mengambil madu dalam masa lima minit sahaja sekiranya pokok rendah, manakala pokok yang tinggi mengambil masa kira-kira 20 minit.
Kumpulan lebah yang menyerang pencari madu ini adalah lebah tua dan mampu menghasilkan sehingga hampir lima kilogram madu bagi setiap sarang.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment