Klip video seks, Ahmad Sarbani dan suruhanjaya
Kelolaan LUKMAN ISMAIL
lukman@utusan.com.my
ISU video seks yang dikaitkan dengan seorang pemimpin pembangkang semakin panas.
Selepas pendedahan oleh trio Datuk T baru-baru ini, Isnin lepas klip video tersebut dimuat naik di YouTube dan ditonton oleh ribuan pelayar di seluruh dunia, termasuk menerusi puluhan blog yang membuat pautan ke laman video dalam talian tersebut.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Wan Azizah Ismail yang telah menonton sendiri klip video itu menafikan lelaki dalam visual tersebut suami beliau kerana lenggok dan susuk tubuhnya tidak sama.
Bagaimanapun, beberapa blog telah menunjukkan bukti-bukti jelas yang boleh dikaitkan dengan pemimpin kanan pembangkang terbabit antaranya blog Minda Intelek Melayu (novandri.blogspot.com),
Blog tersebut membuat perbandingan gaya rambut lelaki di dalam klip video seks tersebut dengan gaya rambut di dalam gambar pemimpin kanan terbabit.
"Seperti rakan-rakan politik Anwar Ibrahim yang lain, mereka tidak menyentuh muka, senyuman dan stail rambut Anwar Ibrahim.
"Lihat di atas dan apakah anda sekalian nampak kesamaan dan juga perbezaan muka di dalam video 18SX dan Anwar Ibrahim sendiri?" katanya.
Bukti serupa didedahkan oleh Kamal Farsya (kamalfarsya.blogspot.com), MyKMU (mykmu.net), Duke of UMNO (dukeofumno.blogspot.com) dan beberapa blog lain.
Gerakan Anti PKR (gerakan-anti-pkr.blogspot.com) pula mempersoalkan keberadaan jam Omega milik pemimpin kanan pembangkang terbabit yang sehingga kini gagal ditunjukkan oleh Wan Azizah walaupun mendakwa ia berada dalam simpanan beliau.
Jam tersebut dianggap bukti penting penglibatan pemimpin terbabit dalam visual video tersebut kerana sebelum ini Datuk Shazryl Eskay Abdullah, iaitu salah seorang trio Datuk T mendakwa beliau telah memperoleh jam yang tertinggal di dalam bilik hotel berkenaan dan kini telah diserahkan kepada pihak polis.
Justeru, penulis blog ini berkata, ia adalah bukti kukuh kerana jam semahal Omega mempunyai nombor siri yang tidak boleh ditukar dan digantikan dengan yang baru.
"Dalam sidang media Wan Azizah menyatakan jam Omega masih ada dalam simpanannya, namun tidak mahu menunjukkan kepada wartawan. Sedangkan minggu lepas Anwar telah membuat laporan polis jamnya hilang? Apa yang telah berlaku?
"Kepada keluarga Anwar, terutama sekali Kak Wan, berlaku jujurlah dalam hal ini. Rakyat mahukan cerita yang benar dan pemimpin yang amanah.
"Andai Anwar benar-benar teraniaya dan layak diangkat sebagai pemimpin, insya-Allah masanya akan tiba sedikit masa lagi. Maka kami rakyat mahukan penjelasan kukuh dengan bukti-bukti kukuh bahawa Anwar tidak bersalah," katanya.
Beberapa blog lain turut mempersoalkan keberadaan jam tersebut antaranya Ruang Bicara Faisal (ruangbicarafaisal.blogspot.com), Musram Rakun (musramrakunman.blogspot.com) dan Malaysia Heaven (malaysiaheaven.blogspot.com).
Bagaimanapun, Dr. Ismail Ibrahim (profismail.blogspot.com) mahukan semua pihak bersabar dan menyerahkan kepada pihak berkuasa bagi menentukan kebenaran dan menghukum mereka yang salah.
Kata beliau, kemunculan video kontroversi itu mengundang semua pihak mahu menjadi hakimi dan mereka menjatuhkan hukuman mengikut kepala dan pendirian masing-masing yang didorong oleh rasa taksub dan fanatik kepada seseorang atau kumpulan tertentu.
"Inilah senario yang berada di hadapan mata, penglihatan dan pendengaran kita sejak sekian lama, terutama pada hari-hari terakhir ini, semua serba tahu, serba yakin, tak perlu menunggu pihak autoriti menjatuhkan hukum.
"Bilakah masanya agaknya akan tiba umat kita mahu mengambil masa bertenang, berdiam diri, bersabar dan menyerahkan keputusan kepada pihak yang berautoriti untuk menjatuhkan hukuman," katanya.
Satu lagi kes yang menggemparkan minggu ini ialah mengenai seorang pegawai kanan kastam yang ditemui mati di tingkat satu, bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan.
Sehubungan dengan itu beberapa penulis blog telah menyarankan agar kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja bagi menyiasat kejadian tersebut, seperti mana mereka lakukan ketika kematian Teoh Beng Hock yang juga ditemui mati di bangunan SPRM.
Raduan Mohd. Taib (raduan-taib.blogspot.com) berkata, kematian Ahmad Sarbani Mohamed yang juga Penolong Pengarah Kastam Selangor amat dikesalkan.
Bagaimana pun untuk mengelak SPRM dituduh dengan pelbagai tuduhan, beliau mencadangkan agar suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan untuk menyiasat punca sebenar kejadian tersebut.
"Ini untuk mengekalkan keyakinan rakyat kepada SPRM," kata beliau.
Shamsul Yunus (marahku.blogspot.com) berkata, beliau seperti seluruh rakyat Malaysia berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan yang menyeluruh untuk mencari punca kematian Ahmad Sarbani.
Tambahan pula, katanya, SPRM sebelum ini mencipta kejayaan besar dengan menahan begitu ramai pegawai kastam yang terlibat dalam pelbagai kegiatan rasuah dan penggubahan wang haram.
"Kematian Penolong Pengarah Kastam Selangor ini sangat tragik dan amat dikesalkan tetapi kami akan pastikan ia tidak menjejaskan usaha SPRM membersihkan Jabatan Kastam (daripada kegiatan rasuah) dan kami akan terus menyokong usaha mereka," katanya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment