Gadis kejar peragut maut
Oleh MARZITA ABDULLAH
utusanperlis@utusan.com.my
PADANG BESAR 20 Mei - Seorang kakak yang geram terhadap peragut kerana cuba meragut rantai leher adiknya bertindak nekad mengejar suspek dengan motosikal di Jalan Kangar-Padang Besar, di sini malam semalam.
Namun, dalam kejadian pukul 7.45 petang itu, motosikal tersebut hilang kawalan setelah dihimpit suspek lalu melanggar belakang sebuah kenderaan.
Mangsa, Nur Syaza Yasmin Ruslan, 17, kemudian terjatuh dan digilis sebuah kereta sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.
Nur Syaza Yasmin ialah pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Jaafar Hassan, Bukit Keteri.
Dia sedang menuju ke sebuah kedai menjual telefon bimbit selepas mengisi minyak di Beseri apabila seorang remaja lelaki yang menunggang sebuah motosikal menghampirinya.
Remaja itu berpura-pura bertanyakan sesuatu sebelum bertindak cuba meragut rantai adiknya, Nur Syaza Naurah, 15.
Menurut Nur Syaza Naurah, suspek gagal meragut rantai dipakainya yang hanya diperbuat daripada plastik, namun kakaknya yang marah dengan tindakan lelaki itu bertindak mengejarnya.
"Saya membonceng untuk mengecam nombor pendaftaran motosikal suspek. Suspek yang melihat kami mengejarnya telah bertindak menghimpit motosikal kami menyebabkan kakak hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar belakang sebuah kenderaan," katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Bukit Keteri, di sini hari ini.
Berikutan kejadian itu, katanya, kakaknya tercampak di tengah jalan raya dan tidak sedarkan diri akibat hentakan di kepala, manakala dia sendiri terlantar di bahu jalan.
Katanya, dia cuba membantu kakaknya untuk ke tepi jalan raya, namun sebuah kenderaan dari arah belakang menggilis kakaknya sebelum memecut ke arah Padang Besar.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supritendan Che Man Md. Deros ketika dihubungi hari ini mengesahkan kemalangan tersebut yang disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987.
Jenazah Nur Syaza Yasmin yang dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Keteri, sebelum solat Jumaat, hari ini.
Bapa mangsa, Ruslan Ali, 49, ketika ditemui memberitahu, Nur Syaza Yasmin sebelum ini pernah memberitahu bermimpi memakai pakaian, namun semuanya tidak muat kerana kecil.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment