Friday, May 6, 2011

Klasik British



Motosikal klasik British pukau peminat

Oleh MOHAMMAD DZULHISHAM CHE HASSIM
utusanmelaka@utusan.com.my


ANTARA motosikal klasik yang dipamerkan pada Pesta Motosikal British Klasik Melaka 2001 di Melaka, baru-baru ini. – UTUSAN/Mohammad Dzulhisham Che Hassim

MELAKA 5 Mei – Mesti ramai yang terpinga-pinga dan mungkin juga ada yang hanya terpegun melihat motosikal klasik seperti Triump, Norton, BSA dan Royal Enfield masih boleh digunakan walaupun sudah dimamah usia.

Malah, terdapat banyak lagi nama besar antaranya Sunbeam, Raleigh, Matchless dan AJS yang mungkin hanya segelintir sahaja yang mengetahui mengenainya.

Rata-rata motosikal tersebut digunakan sekitar tahun 1960-an, 1970-an dan 1980-an dan amat jarang dapat dilihat berada di atas jalan raya kerana hanya segelintir peminat setia masih menyimpan dan menggunakan kenderaan itu.

Namun, bagi pencinta motosikal klasik British, nama-nama berkenaan bukan sesuatu yang asing dan selalu menjadi bahan bualan ketika bertemu dengan rakan yang memiliki minat yang sama.

Kesemua nama tersebut merupakan jenama motosikal yang suatu masa dahulu menjadi kegilaan ramai dan merupakan pengangkutan hebat yang mewarnai jalan raya sama ada dalam mahupun luar negara.

Tetapi seiring dengan kemajuan negara dan perkembangan teknologi moden, motosikal berkenaan kian dilupakan namun kenderaan itu kini mempunyai harga yang mahal.

DERETAN gerai jualan alat ganti motosikal klasik dikunjungi peminat kenderaan itu pada Pesta Motosikal British Klasik Melaka 2011.

Bagaimanapun, Persatuan Motosikal Klasik Melaka (PMKM) mengambil langkah proaktif dengan menjayakan Pesta Motosikal British Klasik Melaka 2011 baru-baru ini sebagai usaha mengembalikan zaman kegemilangan motosikal itu.

Pengerusinya, Amid Aluwi berkata, pesta tersebut juga merupakan salah satu usaha untuk memartabatkan warisan sejarah selain merancakkan industri pelancongan negeri.

“Motosikal klasik ini pernah digunakan di negara kita sejak sebelum merdeka lagi dan orang ramai seharusnya tidak melepaskan peluang mendokumentasikan segala maklumat berkaitan teknologi lampau untuk dijadikan rujukan,” katanya.

Dalam pesta selama dua hari itu yang turut mendapat penyertaan dari Singapura dan Thailand, hampir 400 motosikal klasik yang jarang dipertontonkan kepada masyarakat umum dipamerkan.

Sebuah motosikal jenis Raleigh yang berusia 84 tahun antara motosikal tertua dan beberapa buah motosikal tentera British yang dipamerkan dalam pesta itu berjaya mencuri tumpuan ramai termasuk pelancong asing untuk bergambar kenangan.

Selain pameran statik di sepanjang Jalan Kota, Klinik Motosikal Klasik turut disediakan bagi membolehkan peminat motosikal klasik mendapatkan petua penjagaan kenderaan mereka selain menyediakan gerai jualan alat ganti.

Pesta itu juga dimeriahkan dengan persembahan kumpulan Blues Gang dan pelbagai lagi acara menarik termasuk kempen derma darah, pertandingan motorshow dan karaoke.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment