Salah binatang liar atau manusia?
Oleh Mohd. Hazli Hassan
BEBERAPA minggu kebelakangan ini sering kali kita dengar binatang liar ditangkap kerana mengganggu dan memakan binatang ternakan penduduk di beberapa buah kampung.
Terbaru 14 Mei lepas, seekor harimau kumbang berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan di Kampung Tanjung Limau Purut, Ulu Bendul.
Harimau itu ditangkap kerana dikatakan mengganggu penduduk kampung berkenaan selain memakan binatang ternakan.
Sementara itu, 12 Mei lepas juga Perhilitan Kelantan turut memburu saki baki kumpulan gajah liar yang dikatakan merosakkan tanaman penduduk Kampung Petai, Machang, Kelantan.
Dua hari sebelum itu, sepasukan penguat kuasa Perhilitan berjaya menangkap seekor gajah jantan jenis ‘Elephans maximus’ yang merosakkan tanaman penduduk kampung.
Manakala 18 Mei lalu di Johor pula, seekor ular tedung selar kempunan menelan biawak berdekatan bengkel di Simpang Pasak-Lebuh Raya Desaru, Johor selepas ditangkap.
Pernahkah kita terfikir yang kita sebenarnya mengganggu mereka dan bukannya mereka yang mengganggu kita?
Kita sebenarnya menceroboh kawasan mereka. Ini disebabkan mereka sudah berada lama di kawasan berkenaan dan kita yang ‘meneroka’ dan membuka kawasan-kawasan baru untuk dijadikan penempatan.
Rasmi binatang, mereka akan melalui jalan yang sama sepanjang masa sama ada mahu pergi mencari makanan atau pulang ke sarang.
Jadi apa akan terjadi jika kita membina rumah atau penempatan di kawasan jalan yang mereka lalui setiap hari itu?
Dan baru-baru ini, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga meluahkan rasa sedih melihat taburan hutan kecil di Kuala Lumpur semakin lenyap satu persatu digantikan dengan hutan konkrit.
Menurut Tun, hutan-hutan kecil itu mesti dipelihara sekalipun menelan belanja yang tinggi kerana ia unik dan merupakan sebahagian daripada ciri-ciri Kuala Lumpur.
Sebenarnya kira semakin rakus meneroka hutan dan menjadikan binatang liar sebagi mangsa. Jika binatang itu mengamuk, kita salahkan mereka.
Bila mereka kekurangan makanan di hutan, binatang ternakan atau haiwan peliharaan akan menjadi mangsa.
Cuba fikirkan siapa yang salah?
Apa pun, saya turut berharap orang ramai tidak mengambil jalan sendiri menghalau binatang berkenaan kerana mereka mempunyai daya ingatan yang kuat.
Mungkin hari ini kita berjaya halau mereka, tapi jangan salahkan mereka jika binatang-binatang itu datang kembali untuk membalas dendam.
Ini kerana binatang dikatakan mempunyai memori yang kuat dan mampu membalas dendam.
Biar Perhilitan lakukan tugas berkenaan sebab mereka lebih pakar.
Apa pun, diharap penerokaan hutan dapat dikurangkan atau diteroka secara sistematik agar keluasan dan kehijauan hutan terpelihara.
No comments:
Post a Comment