Nasib 6,924 ibu tunggal dibela
KUALA TERENGGANU 11 Mei - Terdapat 6,924 ibu tunggal dan 798 bapa tunggal daripada 25,000 penduduk miskin berada dalam senarai e-Kasih negeri Terengganu hingga akhir tahun lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Yahya Khatib Mohamad berkata, mereka yang memerlukan pembelaan sentiasa dibantu oleh kerajaan selain berpeluang menyertai pelbagai program.
Ini termasuk projek ekonomi berkelompok untuk disertai para ibu tunggal bagi membolehkan mereka meningkatkan pendapatan.
Beliau bagaimanapun berkata, para peserta perlu mengemukakan kertas kerja untuk dinilai terlebih dahulu sebelum pertimbangan dan kelulusan dibuat.
"Mereka perlu buat kertas kerja dulu untuk dinilai dan kalau berjaya, mereka akan diberi bantuan," katanya ketika menjawab soalan Abd. Halim Jusoh (BN-Permaisuri) pada Sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Yahya seterusnya berkata, pihaknya merancang menubuhkan kelab ibu tunggal di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam usaha untuk membantu golongan berkenaan.
Menurutnya, pada masa sama, pelbagai program disediakan antaranya bengkel pengurusan kewangan, bengkel pengurusan kelab ibu tunggal, bengkel ekonomi dan sebagainya demi faedah masa depan mereka.
Katanya, walaupun program khusus bagi golongan itu dari segi pembiayaan modal belum ada, tetapi kerajaan sedang mengkaji untuk mewujudkan program khas buat mereka di bawah kendalian Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu.
"Antaranya program jaya diri iaitu program yang berbentuk pemberian pinjaman modal berdasarkan kemampuan dan penilaian jabatan yang mana peserta terlibat hanya perlu membayar berdasarkan ketetapan oleh jabatan terbabit," katanya.
No comments:
Post a Comment