Thursday, May 5, 2011

Sendikit Terbang

Sindiket ‘Terbang Malam’ tumpas

Oleh AZIAN AZIZ
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 4 Mei – Satu sindiket bergelar Fly By Night iaitu membuka syarikat dalam tempoh yang singkat dan kemudian menghilangkan diri dikesan telah menipu ratusan syarikat pembekal barangan di negeri ini, Kuala Lumpur, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka sejak tiga tahun lalu.

Sehingga kini sebanyak 124 kertas siasatan dibuka melibatkan sindiket tersebut dengan jumlah kerugian dilaporkan mencecah RM7.85 juta.

Bagaimanapun, sindiket itu tumpas selepas tiga anggotanya diberkas polis pada Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, ketiga-tiga suspek ditangkap di sebuah stor di Taman Perindustrian USJ Subang Jaya dekat sini, pukul 4.45 petang.

“Susulan tangkapan itu, suspek telah membawa polis ke sebuah premis di Winner Height, Desa Petaling, Kuala Lumpur dan beberapa dokumen berkaitan kes serta sejumlah barangan bernilai RM55,000 telah dirampas.

“Berdasarkan siasatan di Selangor sahaja, sindiket itu menubuhkan enam buah syarikat untuk membuat tempahan barangan daripada puluhan syarikat pembekal yang menjadi mangsa,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini. Turut hadir Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah.

Antara barangan dirampas adalah 200 gulung paip, lima gulung smoke tinted film, tiga cop syarikat, tujuh telefon bimbit, dua komputer riba dan buku cek, slip bank dan dokumen sebut harga.

Menjelaskan modus operandi sindiket itu, beliau berkata, semasa pembekal menghantar barangan ke premis syarikat itu, anggota sindiket akan membuat bayaran menggunakan cek tertunda.

“Bagaimanapun pada sebelah malam, anggota sindiket bertindak menutup operasi syarikat di premis itu dan terus menghilangkan diri bersama barangan tersebut.

“Pembekal hanya mengetahui telah ditipu apabila gagal menunaikan cek yang diberikan anggota sindiket itu dan pemeriksaan mendapati premis syarikat tersebut telah ditutup,” katanya.

Jelas beliau, dengan tertangkapnya tiga suspek itu, pihaknya percaya menyelesaikan 66 kes penipuan melibatkan kerugian RM1.66 juta di Selangor manakala kes melibatkan negeri lain masih dalam siasatan.

“Kesemua suspek berusia antara 30 dan 58 tahun kini ditahan reman seminggu sehingga 5 Mei ini dan polis sedang memburu seorang lagi anggota kumpulan itu yang dikenali sebagai Thomas,” katanya.

No comments:

Post a Comment