Ibu tunggal dakwa ditipu pegawai polis
PETALING JAYA 5 Mei - Seorang ibu tunggal mendakwa kerugian RM13,000 setelah menyerahkan wang tersebut kepada pegawai polis yang menahan dua anak lelakinya di bawah Ordinan Darurat (EO) sebagai jaminan bagi membebaskan mereka.
Rani Rahmah Ismail, 59, mendakwa, kejadian bermula apabila sekumpulan enam anggota polis datang ke rumahnya di Batu Caves, Gombak pada 8 Mac lalu untuk memberkas dua anaknya, Mohamad Ramadan Mohamed Ali, 22, dan Mohd. Rafe, 20.
Beliau berkata, selepas menunjukkan kad kuasa polis, mereka terus menahan kedua-dua anaknya untuk dibawa ke Balai Polis Rawang bagi membantu siasatan tanpa memaklumkan apakah kesalahan mereka.
"Pada 24 Mac lalu, kira-kira pukul 9.30 pagi, saya menerima panggilan telefon seorang lelaki mendakwa pegawai polis berpangkat inspektor bertugas di Balai Polis Rawang meminta RM30,000 sebagai wang jaminan untuk bebaskan anak.
"Sebagai ibu tunggal, saya tidak mampu memberi wang sebanyak itu tetapi peliknya, pegawai polis terbabit bersetuju untuk tawar-menawar dan akhirnya meminta saya memasukkan RM13,000 ke dalam satu akaun bank milik seorang lelaki didakwa pegawai atasannya," katanya di sebuah pejabat peguam, di sini hari ini.
Katanya, selepas membayar wang itu, dia diminta datang ke Balai Polis Rawang untuk membawa pulang kedua-dua anaknya itu, namun hampa apabila anggota polis yang bertugas di situ memaklumkan mereka tidak boleh dibebaskan.
Peguambela bagi dua beradik yang ditahan itu, Fadiah Nadwa Fikri berkata, dia percaya suspek mengambil kesempatan memandangkan tahanan EO tidak perlu dibicarakan di mahkamah.
Dia yang turut mendakwa dikasari polis semasa berjumpa dua beradik terbabit semalam, meminta polis menyiasat kes rasuah dan dirinya diugut dalam tempoh 24 jam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi mengesahkan tiada pegawai polis yang namanya seperti didakwa oleh keluarga mangsa bertugas di daerahnya, namun berjanji akan menjalankan siasatan lanjut.
Seorang lagi ibu yang anaknya turut ditahan kerana kes sama, Maznah Yusof, 41, berkata, dia juga mendapat panggilan meminta lakukan perkara sama, tetapi tidak mengendahkannya.
No comments:
Post a Comment