Monday, May 9, 2011

Warga Pelik

Pelik dengan syarat iklan

BARU-BARU ini saya menonton satu iklan rancangan realiti tv terbaharu yang disiarkan oleh sebuah stesen televisyen tempatan.

Menariknya iklan menyatakan syarat-syarat penyertaan yang antara lain berbunyi ‘peserta mestilah warganegara Malaysia dan tahu berbahasa kebangsaan.’

Saya merasa pelik, kenapa iklan tersebut menyatakan syarat tersebut?

Bukankah sepatutnya sebagai warganegara, seseorang itu sudah semestinya tahu berbahasa kebangsaan, tidak kira apa kewarganegaraan pun?

Sebagai contoh, jika anda warganegara Indonesia, sudah semestinya anda tahu berbahasa Indonesia. Sama keadaannya jika anda warganegara Thailand, tidak kira anda berbangsa dan beragama apa, sudah tentu anda tahu berbahasa Thailand.

Tetapi itulah ‘keunikkan’ Malaysia, anda mungkin warganegara Malaysia tetapi tidak semestinya anda tahu berbahasa Malaysia.

Sebab itulah rancangan tersebut terpaksa meletakkan syarat yang ‘pelik’ sebegitu, kerana di Malaysia jelas terdapat dua kategori warganegara. Yang tahu dan tidak tahu berbahasa Malaysia. Apa pandangan warga asing yang bekerja dan menetap di negara ini apabila mereka melihat iklan tersebut? Sesuatu yang mungkin janggal dan pelik di negara asal mereka. Sesuatu yang berlaku hanya di Malaysia.

Memang menyedihkan walaupun sudah lebih 50 tahun merdeka, masih ada golongan rakyat kita yang gagal menguasai bahasa Malaysia.

Sebagai seorang warganegara, menjadi tanggungjawab kita tanpa mengira kaum, untuk memartabatkan dan mendaulatkan bahasa kebangsaan kita ini. Dan ini adalah perkara asas!

MIENAMI

Puchong

No comments:

Post a Comment