Tuesday, May 10, 2011

Cukai

Wahai LHDN: 'Besar periuk, besar jugalah kerak'

ISTERI PEMBAYAR CUKAI
Kedah

SAYA adalah seorang isteri kepada seorang suami yang berpendapatan sederhana. Saya pernah bekerja suatu ketika dahulu tetapi berhenti kerja kerana tuntutan rumah tangga.

Tugas saya bukan sahaja sebagai isteri, tetapi juga sebagai ibu, anak dan menantu. Dengan pendapatan sederhana suami saya menanggung 10 orang ahli keluarga (4 orang anak, dua ibu dan dua bapa).

Ibu dan bapa saya tinggal di kampung dalam keadaan uzur. Jadi saya berulang alik menjaga mereka setiap hari sejauh 100 kilometer (km), di samping menghantar dan mengambil anak di sekolah.

Bayangkan perbelanjaan petrol yang dibelanjakan setiap hari.

Begitu juga dengan suami saya, berulang alik ke tempat kerja sejauh 120km setiap hari. Sudah menjadi kebiasaan suami saya di sebelah malam akan memberi bimbingan dan tunjuk ajar berkaitan pendidikan dan pelajaran kepada anak-anak.

Sebab itulah beliau sanggup bersusah payah berulang-alik demi untuk memastikan anak-anak tidak ketinggalan ketika di alam persekolahan.

Bayangkan perbelanjaan petrol yang dibelanjakan setiap hari.

Itu belum pun termasuk perbelanjaan untuk makanan, pakaian, ubat-ubatan kesihatan untuk ibu bapa, yuran persekolahan, alatan sukan, bil utiliti, cukai pintu, tanah, bil air yang meningkat tinggi di negeri Kedah, bayaran pinjaman perumahan dan kenderaan (kadar faedah yang tinggi dikenakan untuk pekerja sektor swasta).

Yang menyedihkan saya, pelepasan cukai untuk seorang isteri hanya RM3,000.

Tugas saya memastikan orang tua kami tidak diabaikan manakala anak-anak diajar dengan disiplin dan sivik yang tinggi supaya tidak terjebak dengan gejala negatif. Kos untuk segala perbelanjaan semakin meningkat.

Begitu juga dengan pelepasan untuk pembelian buku. Saya mempunyai anak seramai empat orang. Tiga bersekolah asrama. Umur mereka agak rapat. Di awal tahun sahaja perbelanjaan membeli buku termasuk buku latihan mencecah RM2,000. Kesemua mereka bersekolah menengah. Bulan Mei ini banyak lagi buku-buku latihan dibeli untuk ulang kaji di sekolah.

Itu tidak termasuk buku ilmiah dan keagamaan. Saya dan suami terpaksa beralah dengan tidak membeli buku-buku keagamaan yang menjadi minat kami bersama. Yuran persekolahan juga dibayar mengikut pendapatan suami yang bekerja swasta.

Saya dan suami terpaksa mengehadkan aktiviti kokurikulum anak-anak. Anak-anak sekarang amat bijak. Mereka mempunyai banyak pilihan dalam membeli alatan permainan. Pelepasan cukai untuk membeli alatan permainan yang hanya RM300 membantutkan keupayaan mereka untuk maju di bidang sukan.

Seperkara lagi tentang tanggungjawab kepada ibu bapa. Suami saya mendapat panggilan telefon pada tahun 2010 daripada seorang pegawai LHDN bertanyakan resit pembelian mesin untuk ibu bapa.

Oleh kerana jawapan yang diberi tidak memuaskan hati pegawai terbabit, dengan penuh rasa kemanusiaan dan prihatin beliau, mulai dari Januari 2011 cukai ditambah RM415 setiap bulan sehingga Jun 2011. Alhamdulillah, jutaan terima kasih diucapkan.

Yang pasti, untuk golongan berpendapatan sederhana, cukai yang dibayar kepada LHDN adalah tinggi berbanding caruman KWSP untuk simpanan di hari tua.

Saya berharap agar pihak berkaitan dengan LHDN atau kerajaan perlu membuat kajian lebih menyeluruh dan terperinci dengan kadar cukai tinggi yang dikenakan kepada pekerja yang berpendapatan sederhana.

No comments:

Post a Comment