Saturday, May 28, 2011

Budak Jahat


Buta sebelah mata dicucuk pensil

Oleh AIN SAFRE BIDIN
utusanperak@utusan.com.my


ROSLI Nordin menunjukkan mata Mohd. Saiful Nizam yang buta didakwa akibat dicucuk dengan pensil oleh tiga rakan kelasnya di Teluk Intan, Perak, baru-baru ini.

TELUK INTAN 27 Mei - Seorang murid tahun empat bukan sahaja sering dibuli malah kini buta sebelah penglihatan setelah mata kanannya didakwa dicucuk dengan pensil oleh tiga rakan kelasnya, kelmarin.

Mohd. Saiful Nizam, 10, dari Sekolah Kebangsaan Pekan Rabu Sungai Lampam, dekat sini mendakwa, dia dipegang kaki dan tangannya sebelum salah seorang rakannya itu mencucuk matanya.

Katanya, dia yang kesakitan kemudian dibawa ke hospital oleh guru sekolah berkenaan.

“Semasa saya sedang berjalan ke kelas selepas rehat, kumpulan murid itu menahan dan meminta saya melakukan sesuatu tetapi saya tidak mahu.

“Selepas berada dalam kelas, mereka melepaskan kemarahan dengan membuli saya,” katanya ketika ditemui di Hospital Teluk Intan hari ini.

Tambahnya, dia kerap dibuli kumpulan murid berkenaan tetapi terpaksa berdiam diri kerana takut dibelasah lebih teruk.

Mohd. Saiful berkata, kejadian tersebut benar-benar membuatkannya takut untuk ke sekolah.

Sementara itu ibunya, Salasiah Matrai, 28, berkata, doktor yang merawat anaknya memaklumkan mata Mohd. Saiful sudah tidak boleh berfungsi kerana kanta mata rosak.

“Saya kasihan sangat, dia masih kecil, kenapa diperlakukan sebegitu rupa,” katanya.

Bapa tiri mangsa, Rosli Nordin, 24, mendakwa, dia sudah membuat aduan kepada guru sekolah berhubung perbuatan murid berkenaan yang kerap mengganggu anaknya itu tetapi tidak diendahkan.

“Saya berharap pihak sekolah dapat menyelesaikan masalah ini bagi mengelak anak orang lain menjadi mangsa perbuatan jahat itu,” katanya.

Pegawai Pendidikan Hilir Perak, Mohd. Rawi Mohd. Isa ketika dihubungi hari ini memberi jaminan akan menyiasat kes tersebut.

No comments:

Post a Comment