Wednesday, May 25, 2011

Subsidi

Lihat semula siapa sepatutnya terima subsidi

ISU kajian semula dasar pemberian subsidi sudah berlegar dalam kalangan masyarakat sejak lebih sedekad lalu. Tetapi kerap kali pelaksanaannya tidak dijalankan kerana kerajaan masih sayangkan rakyat.

Sejak zaman pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, topik kajian semula subsidi selalu dibangkitkan dan ia memang sensitif.

Rakyat memang tidak suka mendengar berita subsidi untuk barangan tertentu ditarik semula. Ini kerana apabila subsidi ditarik bermakna pengguna perlu membayar pada harga sebenar di pasaran.

Tetapi di Malaysia kita bertuah kerana biasanya harga yang ditarik subsidi masih murah berbanding di negara-negara jiran. Itu adalah hakikat.

Di sebalik tindakan kerajaan mahu menarik semula subsidi maka kesan segera ialah kerajaan akan menjadi tidak popular kepada rakyat.

Sedangkan sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, langkah itu perlu dilakukan juga akhirnya. Isu ini masih ramai yang kurang memahami.

Memanglah apa-apa sahaja langkah kerajaan yang membabitkan penambahan kos kepada rakyat, ia akan menyebabkan kerajaan tidak popular.

Namun Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab ia perlu menguruskan pembangunan dan ekonomi negara dengan betul untuk mengelak rakyat menanggung beban lebih teruk pada masa depan.

Elok kita mengambil nasihat ini supaya Malaysia tidak mengikut jejak beberapa negara Eropah yang ekonominya mengalami masalah.

Kalau pengurusan ekonomi dan kewangan kita tidak betul, rakyat yang akan menanggung kesan yang bukan sedikit.

Rakyat sudah menikmati kemudahan subsidi lebih 50 tahun, jadi kita patut mula terima perubahan.

Sebenarnya pendekatan rasionalisasi subsidi bukan bermakna kerajaan 'mencabut' bantuan subsidi secara mendadak. Ia akan dilakukan secara berperingkat. Itu yang dikatakan oleh kerajaan.

Kita kena terima faktor asas kerajaan berbuat demikian. Antaranya bertujuan untuk mengurangkan kadar defisit negara iaitu 5.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Sebagaimana kata Muhyiddin, jika kadar defisit itu terus meningkat, dibimbangi penarafan negara akan diturunkan dan menyebabkan tiada kemasukan pelabur dan tiada pekerjaan baru diwujudkan. Jika ini berlaku, rakyat akan menanggung bebannya.

Oleh kerana pada masa sekarang semua peringkat masyarakat menerima subsidi maka ada baiknya dilihat semula siapa sepatutnya menerima subsidi.

Sejak dahulu banyak dibahaskan mengenai pihak yang layak diberi subsidi iaitu golongan berpendapatan rendah, kurang upaya dan miskin sahaja.

Selama ini orang kaya pun guna petrol subsidi. Ini tidak adil, sedangkan penduduk kampung tidak menikmati subsidi ini. Begitu juga dengan subsidi gula, beras dan lain-lain.

Subsidi kerajaan tidak seharusnya dilihat sebagai perkara yang berkekalan. Dan kita tidak boleh terlalu mengharapkan kerajaan sahaja yang berkorban. Fikirkan generasi akan datang.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment