Pen jadi rebutan
Oleh Seri Intan Othman
2010/08/22
MASALAH kemiskinan di India, bagaikan tiada noktahnya. Ketika negara itu dicanang antara negara Asia Selatan pesat membangun, hakikatnya, masih ada rakyatnya yang dihimpit penderitaan atas nama kemiskinan.
Catatan kemiskinan itu sempat penulis selami sewaktu menyertai rombongan selami selepas menyertai penerbangan sulung Air Asia X ke New Delhi, baru-baru ini, yang memberi kesempatan melihat sendiri kedaifan penduduk di sebuah perkampungan di Rajasthan di utara India.
Luluh hati ini menyaksikan sendiri bagaimana sebuah sekolah masih menggunakan papan hitam kecil bersama kapur digunakan oleh murid-murid sekolah untuk menulis.
Penggunaan papan hitam untuk menulis pernah digunakan di negara kita pada 1960-an, bermakna kita sudah jauh meninggalkan India dalam bidang pembangunan walaupun hakikatnya India merdeka dari Britain pada 25 Ogos 1947 dan Malaysia pada 31 Ogos 1957 iaitu perbezaan lebih 10 tahun.
Agak menyedihkan melihatkan anak-anak ini hanya hanya duduk di atas lantai ketika cikgu sibuk mengajar. Selain kekurangan peralatan pembelajaran, kanak-kanak ini turut berpakaian kotor serta selekeh. Namun ia sama sekali bukanlah halangan semangat mereka yang berkobar-kobar menimba ilmu. Mereka tidak mengeluh biarpun terpaksa berasak-asak sambil jari jemari kecil mencatat sesuatu di atas papan hitam kecil berkenaan.
Bagi penulis, melihat dan melewati renungan mata si comot berusia lingkungan 5 - 9 tahun itu sebegitu menginsafkan. Apakan tidak, ketika dunia dilingkari pembangunan serba canggih, hakikatnya masih ramai insan kurang bernasib baik di dunia ini yang amat memerlukan bantuan.
Menurut Pemandu Pelancong India Tourism, Delhi, Rajesh Ranjan, ini adalah keadaan biasa di Rajasthan. Ia turut berkait rapat dengan dengan bentuk muka buminya yang tidak subur dan menyukarkan usaha pertanian dijalankan.
Kawasan tanah merahnya sekadar menjadi tumpuan ternakan kerbau. Penduduknya pula menjalani hidup dalam serba kekurangan tanpa kemudahan asas mencukupi malah untuk mandi terpaksa menggunakan paip awam.
Selain itu, persekitaran rumahnya sudah cukup menceritakan kesukaran hidup yang ditempuhi. Rumah yang sekadar diisi pangkin tempat tidur, dapur teramat ringkas dan penghuninya berpakaian lusuh terutama warga tua yang hanya mampu baring di luar menghabiskan sisa hidup.
Sesekali, kehadiran pengunjung meriuhkan suasana dan menjadi tumpuan. Rombongan kami turut dikerumuni penduduk kampung sejurus tiba sehinggalah berangkat pulang. Sedihnya melihat kanak-kanak mahupun golongan tua meminta sedekah malah sebatang pen pun turut jadi tagihan.
Rajesh bagaimanapun melarang kami memberi sedekah bagi mengelak puluhan lain datang menyerbu sehingga menyukarkan usaha meneruskan perjalanan.
Hakikat kemiskinan itu turut kelihatan di Delhi dan Agra yang turut kami kunjungi. Di Agra yang terkenal dengan bangunan Taj Mahalnya, kemiskinan di bandarnya amat ketara.
Di sana sini begitu ramai penjual barangan cenderamata yang mengerumuni pelancong untuk menjual rantai kunci, kemeja T dan kraf tangan, begitu juga peminta sedekah yang mempunyai pelbagai cara untuk menagih simpati.
Satu lagi kawasan tumpuan pelancong di Jaipur yang terkenal dengan jolokan Pink City. Bandar yang dipenuhi istana lama ini begitu padat dengan sejarah raja-raja Hindunya yang hidup serba mewah dalam mahligai dipenuhi berpuluh bilik.
Amber Fort, City Palace, Wind Palace adalah antara istana yang sempat kami lawati sepanjang dua hari bermalam di Jaipur. Keindahannya menambat hati setiap pengunjung.
Andai berpeluang menjejakkan kaki ke sini, jangan sekali-kali terkejut dengan persekitaran kotor kerana ia sudah lumrah di negara yang mempunyai lebih 1.2 bilion penduduk. Jumlah yang terlalu ramai ini menyukarkan kerajaan negara itu untuk membangunkannya.
Namun, keadaan berbeza di New Delhi yang sibuk dengan persiapan menyambut Sukan Komanwel Oktober depan. Ia jauh lebih bersih, apatah lagi diserikan dengan mercu tanda baru iaitu Lapangan Terbang Mahatma Ghandi yang baru siap dibina.
Biar apa pun ‘wajah’ India daripada kehebatan dunia Bollywood, kemiskinan dan kepelbagaian budayanya yang tersendiri, negara ini tidak pernah lekang daripada mulut pengembara yang mahu mendekati keunikan negara ini. Di sinilah, pengunjung mampu berasakan pengalaman manis bercampur rasa insaf.
Bagi rakyat tempatan, India kini lebih dekat menerusi sembilan destinasi Air Asia X termasuk sebelum ini, Chennai, Mumbai, Hyderabad, Bangalore, Kochin, Kolkata, Tirichirappalli dan Trivandrum.
No comments:
Post a Comment