Sunday, October 17, 2010

Demi Menyelamat



Lelaki paling berani


2010/10/17

DENGAN semangat berani luar biasa, dia meletakkan dirinya dalam bahaya kerana ingin menyelamat 33 pelombong Chile yang terperangkap di bawah tanah sejak 69 hari lalu.


TAHNIAH...Manuel Gonzalez (kanan) berjabat tangan dengan Presiden negara itu, Sebastian Pinera sebelum menuruni lubang sedalam 622 meter.
sebelum - selepas
LUAS... imej Satelit menunjukkan lombong San Jose yang dikelilingi Kem Harapan untuk misi menyelamat. MISI TERLAKSANA... Gonzalez melambai depan kamera sebelum menaiki kapsul ke permukaan. TERAKHIR... Luis Urzua, yang bertanggungjawab mengawal makanan dan membantu menaikkan semangat rakan-rakannya, sepanjang tempoh mereka terperangkap. CEKAL... Gonzalez memasuki kapsul sebelum menjadi anggota penyelamat pertama menuruni lombong San Jose yang runtuh, Ogos lalu. LEGA... PINERA menutup lubang penyelamat selepas Gonzalez tiba di permukaan.

LUAS... imej Satelit menunjukkan lombong San Jose yang dikelilingi Kem Harapan untuk misi menyelamat.
Bekas pemain bola sepak profesional itu diikat dalam kapsul kecil yang diberi nama ‘Phoenix’ sebelum menuruni lubang sedalam 622 meter, tempat 33 pelombong berkenaan berlindung sepanjang tempoh mereka terperangkap, Rabu lalu.


Dia berikrar untuk kekal di bawah tanah itu sehingga semua pelombong berkenaan diselamatkan dan dia menunaikan ikrar itu apabila hanya naik semula selepas 33 pelombong dan lima anggota penyelamat lain sudah berada di atas.


Sambil melambai ke arah kamera, kemudian membongkok tanda hormat, dia memasuki Phoenix 2 dan ditarik naik ke atas.


Ketika muncul di permukaan dengan sambutan sorak orang ramai, rakannya berjenaka, bertanya kepadanya sama ada dia sudah memadamkan lampu dan mengemas katilnya di bawah tanah sebelum dia ditarik naik.

Dengan tepukan dan pelukan daripada Presiden Sebastian Pinera, lelaki Chile itu semalam menjadi orang pertama menguji kapsul berkenaan dan juga orang pertama menemui pelombong yang sudah terperangkap di bawah tanah itu selama 69 hari.


Gonzalez ialah pakar keselamatan lombong dari Codelco, sebuah syarikat tembaga milik kerajaan Chile.


Dengan berpakaian oren cerah, dia diturunkan perlahan-lahan menerusi lubang itu, memeriksa keadaan batu dan kelengkapan telekomunikasi yang dipasang pada kapsul berkenaan.


Sebaik tiba di bawah, kamera menunjukkan dia berjabat tangan dan memeluk pelombong yang terperangkap sebelum memberi penerangan kepada mereka mengenai pelan menyelamatkan mereka.


Apabila berjaya dinaikkan ke permukaan bumi semula, Pinera bertanya, apa yang difikirkan sepanjang perjalanan naik itu.


“Saya memikirkan bahawa saya berharap kejadian seperti ini tidak berlaku lagi. Perlu ada perubahan pada kegiatan perlombongan untuk mengelaknya berlaku lagi.” Misi menyelamat itu berjalan lancar dan berakhir jauh lebih awal daripada yang dijangka. Satu persatu pelombong itu memasuki ‘sangkar’ sempit itu, jauh di perut bumi, selepas mencatatkan sejarah menjadi orang yang paling lama terperangkap di bawah tanah.


Menjelang awal pagi Khamis lalu, semua 33 pelombong berkenaan berjaya diselamatkan, dalam tempoh 22 jam, hampir separuh daripada masa yang dirancang.

Selepas 69 hari di bawah tanah, termasuk dua minggu mereka dikhuatiri sudah mati, pelombong itu muncul dengan sorakan rakyat Chile dan disaksikan oleh masyarakat seluruh dunia.


Suasana menjadi meriah apabila setiap pelombong tiba di permukaan lombong tembaga dan emas San Jose di kawasan padang pasir Atacama, utara Chile.


Namun, wujud kebimbangan mengenai kesan psikologi yang mungkin dihadapi pelombong itu.


Seorang dirawat kerana pneumonia dan dua lagi menghadapi masalah gigi. Tetapi, yang lain, dibenarkan pulang selepas dirawat di hospital selama sehari.


Operasi menyelamat itu adalah kejayaan besar bagi Presiden Sebastian Pinera yang menunggu di permukaan lubang penyelamat untuk menyambut dan memeluk setiap mangsa.


Kebimbangan pasukan penyelamat berakhir apabila Florencio Avalos, pelombong paling gempal dalam kumpulan 33 orang itu muncul dari kapsul berbentuk peluru berpandu, dalam keadaan tersenyum selepas melalui perjalanan dalam lubang sempit sejauh 622 meter ke permukaan.


Di tengah sorakan orang ramai, dia memeluk anak lelakinya berusia tujuh tahun yang menangis terisak-isak, isterinya dan kemudian Pinera, yang terbabit secara langsung dalam usaha menyelamat yang kini menjadi kebangaan Chile.


Di Santiago, ibu negara Chile, suasana begitu bingit apabila pemilik kenderaan membunyikan hon tanda gembira, Di Copiapo, tempat asal 24 pelombong terbabit, datuk bandarnya membatalkan sekolah supaya ibu bapa dan anak dapat menonton siaran secara langsung operasi menyelamat itu menerusi televisyen di rumah.


Hampir semua rangkaian televisyen dari Amerika Utara ke Eropah dan Asia Barat menyiarkannya secara langsung.

No comments:

Post a Comment