Friday, October 29, 2010

Rugi Terputus Elektrik

Derita elektrik terputus

Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
kota@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 28 Okt. - Sudah seminggu penghuni 20 buah rumah di Blok 1, pangsapuri Pandan Jaya di sini hidup dalam kepayahan berikutan bekalan elektrik ke rumah mereka terputus.

Apa yang lebih mendukacitakan penduduk ialah masih belum ada tindakan diambil oleh pihak yang bertanggungjawab bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Menurut mereka, bekalan elektrik di situ terputus setelah peti suis utama di blok itu meletup pada hari Khamis lalu.

Seorang penduduk, Mohd. Fairos Ibrahim, 24, berkata, dia terpaksa menanggung kerugian yang tinggi akibat ketiadaan bekalan elektrik.

Dia yang menjalankan perniagaan secara dalam talian di rumahnya kini tidak boleh melakukan kerja berikutan tiada bekalan elektrik.

Katanya, dalam tempoh seminggu itu, dia kerugian kira-kira RM2,000 dan jika keadaan itu masih tidak dapat diatasi, kerugiannya pasti bertambah.

"Kita mengadu kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan TNB menyuruh memanjangkan perkara ini kepada badan penyelenggara yang menguruskan blok tersebut.

"Perkara ini juga ada diadukan kepada wakil rakyat kawasan ini, namun masih tiada tindakan diambil," katanya.

Dia berharap masalah itu dapat diselesaikan segera kerana sudah banyak perkara yang perlu dilakukannya tergendala.

Seorang lagi penduduk, Kartini Mohd. Rasat, 55, berkata, selain bergantung pada cahaya lilin pada waktu malam, ketiadaan bekalan elektrik juga menyebabkan banyak perkara lain tidak dapat dilakukan.

Ujarnya, keadaan itu juga menyusahkan dia untuk memasak kerana semua barangan di dalam peti sejuk seperti ikan, ayam dan sayur-sayuran semuanya rosak," katanya.

A. Vivian, 30, pula berkata, dia mempunyai tiga anak yang masih kecil dan terpaksa sabar melihat mereka menangis terutama pada waktu malam akibat panas.

"Mengapa masih tiada tindakan dibuat sedangkan sudah berpuluh-puluh kali saya menelefon pelbagai pihak untuk membantu menyelesaikan masalah ini," katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Meor Rithuan Mohamed Said berkata, beliau akan cuba mencari jalan bagi menyelesaikan masalah itu.

"Walaupun perkara ini adalah di bawah bidang kuasa badan penyelenggara blok tetapi disebabkan badan tersebut tidak mengambil tindakan, kita akan cuba jalan lain untuk mengatasinya.

"Sepatutnya penduduk di sini menubuhkan Badan Pengurusan Bersama (JMB) supaya jika berlaku masalah seperti ini, lebih mudah mencari jalan penyelesaian.

No comments:

Post a Comment