Saturday, October 16, 2010

Mat Afrika Lagi

Cinta palsu 4 Mat Afrika
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
2010/10/16

KUALA LUMPUR: Empat lelaki warga Afrika yang memberi cinta palsu kepada seorang wanita warga China di Hong Kong melalui laman sosial Facebook hingga mendorongnya menyerahkan wang tunai lebih RM400,000 berjaya ditahan selepas mangsa membuat laporan polis di negara ini sebaik menyedari ditipu.

Lelaki penipu terbabit hanya menggunakan kata-kata manis yang dihantar setiap hari melalui Facebook untuk meyakinkan mangsa berhubung hubungan cinta maya mereka yang terjalin sejak tiga bulan lalu.

Namun, jejaka Inggeris kacak yang dikenali itu sebaliknya adalah pelajar warga Afrika yang menjadikan Malaysia sebagai markas menjalankan penipuan bermodalkan cinta murahan itu.


Sumber polis berkata, mangsa yang berusia 46 tahun yang juga ahli perniagaan berasal dari Hong Kong mula berkenalan dengan suspek pada Julai lalu selepas saling berkenalan dan bertukar biodata.


“Suspek yang menggunakan gambar palsu selain bijak bermain kata-kata pujukan cinta menyebabkan mangsa yang sudah berkahwin dilamun cinta tanpa menyedari ia adalah perangkap yang dipasang sindiket Awang Hitam Afrika itu,” katanya.


Beliau berkata, dalam perkenalan itu, suspek yang menggunakan nama samaran James George mendakwa dia adalah seorang pelajar sebuah kolej di Malaysia.


Katanya, mangsa yang kerap bersembang di Facebook dengan suspek jatuh cinta dengan lelaki yang dikenali di alam maya itu.


“Selepas beberapa bulan berkenalan dan pasti mangsa benar-benar sudah jatuh cinta, suspek mula memasang perangkap dengan memujuk mangsa mengirim wang kepadanya.


“Suspek berjaya meraih simpati mangsa hingga wanita itu sanggup mengirimkan HK$280,797.94 bersamaan dengan RM111,826.45 selepas mendakwa menghadapi masalah membayar yuran pengajian kerana bapanya sakit,” katanya. Menurutnya, tidak lama selepas itu, suspek sekali lagi meminta mangsa mengirim wang kepadanya dengan alasan mahu membuka perniagaan mengeksport kayu dari Malaysia.


Katanya, mangsa yang masih belum menghidu temberang kekasihnya sekali lagi mengirim HK$747,785.19 (RM297,816.90) kepada lelaki berkenaan.


Katanya, semua wang diberikan kepada suspek melalui kiriman wang segera atas dua penama iaitu James George dan Kelvin Nice.


“Mangsa pada mulanya tidak mengesyaki dia ditipu kerana suspek berjanji akan datang ke Hong Kong bertemu dengannya selepas itu.


“Namun, kekasih yang ditunggu tidak pernah muncul, malah terus menyepikan diri termasuk gagal dihubungi,” katanya.


Menurutnya, mangsa yang menyedari ditipu membuat laporan polis di Hong Kong, namun dinasihatkan supaya datang bertemu polis di negara ini memandangkan suspek berada di Malaysia.


Katanya, pada 5 Oktober lalu, mangsa tiba di ibu negara dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) berhubung penipuan itu.

Katanya, mangsa bernasib baik kerana mempunyai alamat suspek di negara ini dan melalui maklumat itu, polis berjaya menjejaki dan memberkas suspek iaitu empat lelaki Afrika.


“Keempat-empat suspek berusia 22 hingga 25 tahun yang juga pelajar sebuah kolej swasta ditangkap di sebuah pangsapuri di Taman Desa Millenium, Puchong baru-baru ini,” katanya.


Dalam serbuan di rumah itu, polis merampas sebuah komputer riba dan telefon bimbit dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan penipuan.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan tangkapan empat lelaki Afrika berkenaan.


Beliau berkata, semua suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan sehingga 19 Oktober ini.

No comments:

Post a Comment