Jalan pintas guna bomoh tanda tiada keyakinan
KUALA LUMPUR: “Tiada kepercayaan terhadap diri sendiri menjadi salah satu faktor penyebab individu menggunakan ‘jalan pintas’, termasuk menggunakan bomoh mendapatkan sesuatu diingini tanpa perlu berusaha bersungguh-sungguh.
“Perbuatan ini dalam jangka masa pendek mungkin boleh membuahkan hasil, namun bagi jangka masa panjang merosakkan diri sendiri,” kata pensyarah di Jabatan Psikologi Pendidikan Dan Kaunseling Universiti Malaya, Profesor Dr Suradi Salim.
Beliau mengulas laporan Harian Metro semalam mengenai seorang gadis berusia 18 tahun menggunakan ilmu penunduk terhadap lelaki supaya jatuh cinta dengannya dan memenuhi keinginannya memiliki barang berjenama.
Katanya, selain tiada keyakinan diri yang tinggi, taraf pendidikan, pergaulan dan agama yang kurang turut menjadi punca kepada berlakunya perkara ini.
“Pemikiran individu berkenan amat cetek kerana zaman moden ini masih menggunakan khidmat pengamal ilmu tradisional bagi mendapatkan apa diimpikan.
“Namun, hakikatnya jika berusaha bersungguh-sungguh, individu berkenaan boleh mendapat apa dihajati termasuk lelaki yang disukai,” katanya.
Menurutnya, jika seseorang itu ada pendedahan dan pergaulan luas serta pendidikan tinggi, mereka tidak bergantung kepada bomoh untuk mendapatkan benda diingini, termasuk ‘menundukkan’ lelaki.
“Perlu diingat, jika menggunakan ilmu pengasih untuk membuatkan lelaki jatuh cinta, perkara seperti itu tidak kekal lama kerana ia palsu dan tidak semula jadi.
“Apatah lagi meminta barangan disukai, lelaki yang ‘terkena’ ilmu terbabit lama- kelamaan menyedari hal berkenaan,” katanya.
Harian Metro semalam melaporkan seorang gadis sengsara akibat gangguan histeria yang dikatakan berpunca daripada tindakannya menggunakan jin dan amalan ilmu hitam bagi menundukkan lelaki supaya memenuhi kemahuannya memiliki barangan berjenama.
Gangguan histeria dialami gadis itu berlaku jam 10.30 malam pada 14 Oktober lalu memaksa keluarga remaja berkenaan memanggil pengamal perubatan tradisional memulihkan keadaan. Hasil rawatan, bomoh berkenaan memberitahu kejadian berpunca daripada jin belaan gadis berkenaan mengamuk.
No comments:
Post a Comment