Saturday, October 9, 2010

Bomoh Pun KO

Bomoh lemah bertentang mata
Oleh Mohammad Ishak
am@hmetro.com.my
2010/10/09

JERTIH: Hasrat seorang bomoh mengubati gadis misteri, Siti Balqis Mohd Nor, 22, tidak kesampaian apabila lelaki itu tiba-tiba menjadi lemah selepas bertentang mata dengan gadis berkenaan ketika hendak memulakan upacara mengubat, malam kelmarin.

Kedatangan lelaki berusia lingkungan 40-an yang mendakwa dirinya bomoh ke rumah keluarga Siti Balqis di Kampung Gong Nangka, Apal, dekat sini, adalah tanpa diundang dan memberitahu mahu mengubati penyakit misteri gadis terbabit yang kerap ghaib sejak dua bulan lalu.

Ibu Siti, Norizan Said, 47, berkata bomoh itu bersama isteri tiba di rumahnya kira-kira jam 7 malam.


Bagaimanapun, ketika hendak memulakan upacara pada jam 7.15 malam, bomoh berkenaan kelihatan lemah dan seluruh tubuhnya menggigil menyebabkan dia tidak dapat meneruskan niat mengubati Siti Balqis.


Norizan berkata, bomoh itu memberitahunya dia tidak dapat bertentang mata dengan Siti Balqis kerana keadaan matanya kelihatan tajam dan menakutkan.


Berikutan kegagalan itu, kata Norizan, bomoh berkenaan meminta izin meninggalkan rumahnya kerana tidak berupaya melawan jin yang didakwa mengawal ketat pergerakan Siti Balqis.


“Saya dimaklumkan oleh bomoh itu bahawa dia bersama isterinya datang dengan motosikal dari Kampung Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan, bertujuan membantu mengubati Siti Balqis,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.


Menurutnya, bomoh itu datang mengubati anaknya secara sukarela selepas membaca laporan media yang menyiarkan kisah gadis berkenaan sejak Isnin lalu.


Norizan berkata, selepas kecewa dengan kegagalan usahanya, bomoh itu dan isteri pulang selepas hampir sejam berada di rumahnya. Dia juga memberi sedikit wang sebagai ganjaran dan simpati terhadap bomoh berkenaan yang datang dari jauh dengan motosikal tetapi lelaki itu menolaknya dengan baik.


Beliau berkata, selepas kepulangan lelaki itu, dua lagi bomoh dari Setiu datang ke rumah untuk menawarkan khidmat secara percuma tetapi tiada apa-apa yang berlaku terhadap bomoh terbabit.


Malah, katanya, keadaan Siti Balqis selepas itu kelihatan normal dan tidak ghaib kecuali tidak dapat tidur sehingga pagi semalam.


Norizan berkata, sejak kisah anak gadisnya disiarkan di akhbar, ramai bomoh tampil memberikan khidmat secara percuma dan dia sekeluarga berterima kasih atas bantuan itu.

No comments:

Post a Comment