Wednesday, October 20, 2010

Bomoh Palsu Lagi


Sabah&Sarawak: Pakatan bomoh palsu
Oleh Suzianah Jiffar
suzianah@bharian.com.my
2010/10/20


SOH menunjukkan barang dirampas yang dipercayai digunakan bomoh palsu untuk menipu suri rumah.
Sindiket ugut mangsa sihir mati dalam seminggu jika tak guna azimat

KOTA KINABALU: Sasaran utama ialah wanita terutama suri rumah dalam usia 50-an, manakala kawasan tumpuan ialah pasar, tamu mingguan, perhentian bas dan taman perumahan yang majoriti penduduknya masyarakat Cina.

Pergerakan dilakukan dalam dua atau tiga orang sekumpulan. Sebaik mangsa berpotensi dikenal pasti, telefon bimbit menjadi alat perhubungan untuk saling memberi maklumat.

Semua itu adalah modus operandi kumpulan yang mendakwa diri mereka sebagai `bomoh'. Mereka menawarkan azimat kepada pelanggan yang termakan jerat dengan syarat `azimat' tidak boleh dibuka dalam masa seminggu manakala perbualan dengan `bomoh' tidak boleh diberitahu kepada sesiapa.

Kumpulan itu turut mensyaratkan mangsa menyerahkan emas atau duit dimiliki sebagai pengeras `azimat'.

Hampir sembilan bulan berleluasa memasang jerat di seluruh Sabah dan Labuan dengan ramai tunduk sebagai mangsa, kelicikan kumpulan `bomoh palsu' itu akhirnya longlai apabila ditumpaskan oleh polis, baru-baru ini.

Sebaik memasuki perangkap pihak berkuasa, polis merampas wang tunai berjumlah 67,800 yen (RM30,171) dan RM4,400, seutas rantai emas dan sembilan telefon bimbit selain beberapa barang perhiasan seperti gelang kristal serta batu permata tiruan yang dipercayai dijadikan `azimat' buat mangsa ketika berubat.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sabah, Superintendan Soh Hock Seng, berkata lapan kes dikesan dengan masing-masing dua di Inanam dan Luyang serta satu di Tuaran, Tawau, Penampang dan Labuan dengan kerugian keseluruhan berjumlah RM127,338.

"Biasanya mereka berlegar-legar di pasar, tamu mingguan dan perhentian bas. Suspek pertama iaitu seorang wanita akan menghampiri mangsa dikenal pasti dengan pura-pura bertanya sama ada mengenali bomoh di kawasan itu untuk mengubati suaminya yang sakit.

"Ketika berbual, suspek kedua yang kononnya mendengar perbualan akan tampil dan mendakwa mengenali seorang bomoh, manakala suspek ketiga pula muncul selaku `bomoh palsu' sambil menyatakan kebolehan merawat pelbagai penyakit.

"Bomoh palsu itu kemudian akan memberitahu kononnya boleh mengesan mangsa yang dihampiri terkena sihir dan boleh meninggal dalam masa seminggu jika tidak diubati," katanya.

Kumpulan `bomoh palsu' itu termasuk empat wanita disahkan sebagai warga China dan dipercayai terbabit dalam lapan kes penipuan di beberapa daerah di Sabah sejak Januari lalu.

Berusia antara 29 dan 39 tahun, mereka ditahan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Sabah di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa, Kota Kinabalu.

Soh berkata, siasatan mendapati kumpulan itu biasa keluar masuk Sabah sejak 2007 berdasarkan cop pasport masing-masing.

Berikutan itu, beliau menasihatkan orang ramai, terutama suri rumah supaya tidak melayan individu tidak dikenali, khususnya tawaran perkhidmatan mengubati penyakit yang diragui kesahihannya.

"Jangan pakai barang kemas ke pasar kerana itu boleh menjadi daya tarikan untuk menjadi mangsa penipuan. Kalau sakit, dapatkan rawatan di hospital, bukannya dengan orang yang tak dikenali," katanya.

Sementara itu, Sariah Salim, 44, berkata beberapa penduduk di kampungnya di Inanam hampir menjadi mangsa sindiket sama.

"Pernah sekali seorang lelaki datang ke kampung kami dan bertanyakan nama seseorang yang tidak kami kenali, katanya perlu bertemu untuk mengubati penyakit dihidapi.

"Apabila penduduk memberitahu tidak mengenali orang dimaksudkan, lelaki itu mendakwa dia pandai mengubati penyakit dengan syarat perlu dibayar dengan emas sebagai pengeras.

"Mujurlah tiada siapa yang termakan dakwaannya dan ada penduduk membuat laporan polis berhubung kejadian itu," katanya.

No comments:

Post a Comment