Dua pengawal keselamatan ditahan disyaki bunuh suspek kes curi
KUALA LUMPUR: Dua pengawal keselamatan di sebuah kawasan perumahan di Bukit Jalil, dekat sini ditahan polis kerana disyaki menyebabkan kematian seorang suspek kes curi, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman berkata, dua pengawal keselamatan warga tempatan berumur 42 dan 51 tahun itu ditahan reman seminggu bagi membantu siasatan kerana menyebabkan kematian seorang lelaki yang cuba mencuri batang besi di sebuah rumah di Mutiara Bukit Jalil.
"Kejadian berlaku kira-kira jam 6 pagi apabila seorang pengawal keselamatan berumur 42 tahun terdengar bunyi bising dari arah sebuah rumah yang sedang diubah suai sebelum terlihat dua lelaki sedang mencuri batang besi dan besi paip di dalam rumah terbabit.
"Apabila menyedari tindakan mereka (suspek) dilihat oleh pengawal keselamatan itu, salah seorang suspek terus memukul kepala mangsa menggunakan sebilah parang sebelum melarikan diri," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Katanya, mangsa yang sedang dalam kesakitan itu sempat memanggil rakannya, seorang pengawal keselamatan berumur 51 tahun, untuk menangkap seorang lagi pencuri berumur 24 tahun, yang masih bersembunyi di dalam rumah berkenaan.
"Sebaik tiba di rumah itu, pengawal keselamatan berumur 51 tahun itu terus memukul suspek sehingga menyebabkan kecederaan serius di bahagian kepala, tangan dan kakinya," kata beliau.
Katanya, polis yang tiba di tempat kejadian mengepung rumah terbabit sebelum membawa suspek yang mengalami kecederaan serius itu ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan.
"Suspek kemudian dibawa ke lokap. Dalam perjalanan itu, suspek mengadu sesak nafas dan minta polis menghantarnya ke HKL semula untuk pemeriksaan.
"Namun apabila tiba di HKL, suspek kemudiannya disahkan meninggal dunia. Kedua-dua pengawal keselamatan itu kemudiannya ditahan polis pada hari yang sama kerana menyebabkan kematian suspek," katanya.
Beliau berkata, pengawal keselamatan berumur 42 tahun yang ditahan di Jalan Pudu mempunyai rekod jenayah lampau iaitu berkaitan rusuhan dan dadah, manakala seorang lagi berumur 51 tahun itu ditahan di tapak perumahan itu serta mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah.
"Setelah disiasat, suspek yang mati itu turut mempunyai tiga rekod lampau antaranya berkaitan dadah dan satu ugutan jenayah. Kedua-dua pengawal keselamatan itu kini disiasat di bawah Sekyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.-Bernama
No comments:
Post a Comment