Besar mana RM3.1 bilion itu?
IA boleh digunakan untuk membina enam buah hospital, atau membina 15 batang jambatan merentangi sungai yang lebar, atau membina 1,200km jalan raya luar bandar selebar 8 meter, atau lebuh raya bertingkat sepanjang 30km, atau 150 buah sekolah, atau enam buah lapangan terbang baru.
Walaupun nilai ini kecil berbanding nilai RM4 bilion yang kononnya disumbangkan untuk kerajaan Kelantan oleh sebuah syarikat, tetapi nilai RM3.1 bilion ini amat besar ke atas pembangunan infrastruktur negara.
Justeru, para penjawat awam wajarlah menyedari bahawa pemberian bonus sebulan ke atas kakitangan awam ini merupakan satu pembaziran buat perbendaharaan negara dan tuntutan sedemikian oleh CUEPACS menafikan pula hak orang lain yang menunggu kedatangan arus pembangunan infrastruktur yang sempurna.
Bayangkan nilai tersebut dan manfaat jangka panjang yang diberikan sekiranya dicurahkan untuk pembangunan infrastruktur, dengan manfaat jangka pendek yang sangat-sangat pendek bila dibelanjakan oleh kakitangan awam.
Matlamat merancakkan ekonomi negara bukanlah keperluan lagi seperti saat-saat negara menghadapi krisis dahulu. Malah kecairan melalui perbelanjaan kakitangan awam hanya menggalakkan perbelanjaan yang tidak berhemah di kalangan penjawat awam.
Seharusnya perkhidmatan awam itu sendiri yang perlukan rombakan drastik luar kebiasaan bagi melipatgandakan produktiviti.
Sebaliknya, idea-idea peningkatan produktiviti seperti mewujudkan waktu anjal yang memberi signifikan ketara contohnya memperkenalkan dua waktu bekerja 7 pagi - 4 petang dan 11 pagi - 8 malam bagi membolehkan pejabat kerajaan dibuka sekurang-kurangnya 12 jam sehari dan urusan rakyat akan dapat dipermudahkan, perlu diambil kira.
SYAMSYUL FADZLI MAT
Putrajaya
No comments:
Post a Comment