Friday, October 29, 2010

Along


Satu panggilan hutang berganda
Oleh Yusmizal Dolah Aling
am@hmetro.com.my


BUKTI...Hanim menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat ke atas along di Balai Polis Wangsa Maju.
KUALA LUMPUR: Dengan hanya satu panggilan telefon, mereka yang meminjam wang dari ceti haram atau along menanggung hutang 15 kali ganda daripada jumlah asal.

Itulah taktik terbaru digunakan satu rangkaian dipercayai along untuk memaksa peminjam membayar kembali hutang dan pada masa sama menyebabkan kadar pinjaman meningkat kepada jumlah yang tidak munasabah.


Taktik itu tambahan daripada prosedur sebelum ini yang memaksa peminjam membayar kadar bunga tertentu setiap kali lewat membuat bayaran.


Lebih mengejutkan apabila ada peminjam tidak menyedari mereka berurusan dengan 31 along serentak yang terdiri daripada satu rangkaian sama.


Mangsa dikenali Hanim berusia 40-an berkata, pada awalnya dia meminjam RM6,000 daripada along selepas mengalami masalah kewangan pertengahan tahun lalu.


Katanya, along berkenaan menetapkan syarat dia perlu membayar 10 peratus sebagai bunga sekiranya gagal melunaskan bayaran pada masa ditetapkan.


“Disebabkan masalah kewangan, saya lewat membayar pinjaman selama beberapa bulan. Tidak lama selepas itu, saya dihubungi seorang lelaki menawarkan pinjaman mudah.


“Tanpa memikirkan risiko, saya menerima tawaran pinjaman itu dengan niat mahu melangsaikan hutang terdahulu. Sekali lagi saya gagal membayar hutang dan kali ini seorang lagi lelaki menghubungi saya menawarkan pinjaman serupa,” katanya.


Katanya, selepas beberapa bulan, dia membayar RM13,000 menerusi dua transaksi, namun apa yang mengejutkannya, dia dimaklumkan jumlah perlu dibayar kepada along berkenaan mencecah RM85,000.


Tidak tahan diperlakukan sedemikian, mangsa membuat aduan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).


Hasil pertemuan yang diaturkan bersama PPIM minggu lalu, mangsa dimaklumkan bahawa perlu membayar RM77,000, namun berubah menjadi RM85,000 beberapa hari kemudian.


Tidak cukup dengan itu, dia menerima ugutan gambarnya ditampal di seluruh kawasan rumahnya dengan niat memalukannya.


“Mereka juga datang ke rumah sambil membuat bising menuntut saya membayar baki wang yang masih tertunggak sedangkan saya sudah melangsaikan semua hutang saya,” katanya.


Bimbang sesuatu yang tidak diingini berlaku, dia membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju.


Sementara itu, Pegawai Tindakan Khas PPIM, Saharuddin Abu Bakar, berkata pihaknya bertindak sebagai orang tengah bagi menyelesaikan masalah wanita itu.


Katanya, PPIM juga berusaha membantu setiap mangsa along mendapatkan nilai ansuran yang minimum dan mampu dibayar kepada along berkenaan.

No comments:

Post a Comment