Sunday, October 17, 2010

Dera

Kriminal: Dera hingga mati
Susunan SHAMRAN SARAHAN
shamss@hmetro.com.my
2010/10/02

KEPALANYA dipenggal manakala tangan, kaki dan badannya dipotong sebelum dibuang ke dalam tasik Blue Lagoon di Arlesey, Bredfordshire, England. Sisa tubuhnya diletakkan dalam beg berasingan selepas didera dengan teruk sehingga mati.


Itulah nasib malang menimpa Michael Gilbert yang berusia 26 tahun ketika kejadian. Lebih menyedihkan, dia dibunuh sedemikian rupa oleh keluarga angkatnya, iaitu pasangan Antonio Watt dan Jennifer Smith-Dennis selepas 10 tahun hidup bersama mereka, di Luton, England.

Kejadian tragik itu berlaku sekitar Januari 2009. Rangka mayat Gilbert ditemui November lalu manakala kepalanya ditemui di tasik berkenaan pada Februari berikutnya.


Selepas mayat Gilbert ditemui, polis Luton menahan dua suspek disyaki terbabit dengan pembunuhan itu, iaitu pasangan kekasih, Richard Watt, 25, dan Nichola Roberts, 22, menerusi bukti daripada rakaman litar tertutup (CCTV) ketika mereka cuba membuang mayat mangsa.

Robert adalah seorang daripada anggota keluarga angkat Gilbert. Penangkapan suspek ini seterusnya menjadi titik tolak kepada pembongkaran jenayah kejam terhadap Gilbert.

Ketua keluarga Watt, iaitu Antonio Watt, 70, dan isterinya, Jennifer Smith-Dennis, 58, ditahan polis sejurus penahanan mereka. Anak mereka, James, 27, dan Robert turut disyaki terbabit dengan pembunuhan berkenaan. Kekasih James, Natasha Oldfield, 29, turut ditangkap.

April lalu, kes ini dihadapkan ke Mahkamah Diraja Luton. Perbicaraan kes itu mendapat liputan meluas di Britain kerana pelbagai keterangan mengejutkan berkaitan pembunuhan berkenaan.

Suspek membuat pengakuan memukul mangsa berulang kali sepanjang mereka membesarkan Gilbert. Mangsa pernah dibaling dengan bola snooker, ditembak, ditikam, dibakar, berdiri di atas air mendidih dan dipaksa minum air kencing.

Dalam satu keterangan suspek di mahkamah, mangsa pernah diberi makan sisa kayu dan dipaksa memasukkan tangan ke dalam mulut. Suspek juga pernah membakar rambut mangsa, mengikat tangan mangsa ketika tidur dan membaling bola snooker pada kemaluannya.

Daripada catatan diari seorang suspek, ada dicatatkan jika ahli keluarga memukul mangsa, mereka akan diberi wang ganjaran. Catatan itu menjelaskan, “Bayaran untuk tampar £5 (RM 24), tumbuk £10 (RM49), tendang £15 (RM73), hentak kepala £25 (RM121). Sehingga Gilbert mati.”

Sebahagian daripada seksaan diterima Gilbert dirakam melalui rakaman video telefon seorang suspek. Ia antara bahan bukti kukuh menunjukkan perbuatan kejam mereka itu di mahkamah.

Hakim, John Bevan menyatakan, perbuatan jenayah kejam dilakukan seisi keluarga Watt sebagai perlakuan tidak bertamadun dan tiada sifat kemanusiaan.

“Mereka (Watt) bertindak kejam dan ganas. Seolah-olah perbuatan dera dan bunuh ini hanya ‘hiburan’ buat mereka, ia jenayah yang tidak boleh diterima akal di zaman ini. Mereka menyeksa mangsa, kemudian ketawa gembira dengan perbuatan itu,” katanya.

Mahkamah turut mendedahkan, keluarga Watt mengambil kesempatan terhadap mangsa dengan memperoleh pendapatan melalui elaun sara hidup daripada kerajaan yang diperoleh mangsa.

“Pendapatan isi rumah ketika Gilbert dibunuh adalah £3,953 (RM19,260), sebanyak £2,253 (RM10,977) adalah wang daripada mangsa,” kata Bevan.

Pada April lalu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara minimum 36 tahun terhadap James dan teman wanitanya, Natasha sekurang-kurangnya 18 tahun.

Robert dan ibunya, Jennifer dipenjara lapan tahun atas kesalahan membunuh dan 10 tahun kerana jenayah keluarga. Nichola dipenjara 15 tahun dan Richard dipenjara enam tahun kerana bersubahat. Antonio terlepas daripada sebarang hukuman.

INFO

MANGSA: Michael Gilbert

UMUR KETIKA KEJADIAN: 26 tahun

SUSPEK: Antonio Watt, 70, Jennifer Smith-Dennis, 58, Natasha Oldfield, 29, James Watt, 27, Richard Watt, 25, Nichola Roberts, 22, dan Robert Watt, 20

FAKTA JENAYAH: Keluarga Watt mendera Gilbert sejak berusia 15 tahun dengan memukul mangsa berulang kali. Mangsa pernah dibaling dengan bola snooker, ditembak, ditikam, dibakar, berdiri di atas air mendidih dan dipaksa meminum air kencing. Dia dipercayai mati akibat cedera teruk pada kemaluan ketika didera. Kemaluan mangsa didapati dihentak, dipijak dan dipukul dengan kuat. Dia turut ditikam dan ditembak menggunakan senapang angin sebelum itu. Apabila tidak bernyawa lagi, tubuhnya dipotong sebelum dibuang ke dalam tasik.

FAKTA KES: Mahkamah mendedahkan, keluarga Watt juga mengambil kesempatan terhadap mangsa dengan memperoleh pendapatan melalui elaun sara hidup dari kerajaan yang diperoleh mangsa. Pada April lalu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara minimum 36 tahun terhadap James dan teman wanitanya, Oldfield sekurang-kurangnya 18 tahun. Robert dan ibunya, Jennifer dipenjara lapan tahun atas kesalahan membunuh dan 10 tahun kerana jenayah keluarga. Manakala Nichola dipenjara 15 tahun dan Richard dipenjara enam tahun kerana bersubahat. Antonio terlepas daripada sebarang hukuman.

No comments:

Post a Comment