Tuesday, October 26, 2010

Hasrat Terkabul


Syazwan hadiahkan motosikal pada keluarga


2010/10/23


MOHAMAD Syazwan bergambar dengan motosikal Modenas CT 110 yang dimenanginya.
DUNGUN: Hasrat seorang pelajar lepasan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) mahu menghadiahkan motosikal kepada keluarganya akhirnya menjadi realiti apabila nama beliau diumumkan pemenang hadiah cabutan bertuah pada majlis penutupan pusingan akhir Karnival GP Joran 2010 di sini.

Mohamad Syazwan Shafie, 19, dari Kemaman memenangi hadiah sebuah motosikal jenis Modenas CT 110 bernilai RM3,888.

Beliau yang ditemui berkata, perasaan gemuruh dan rasa gugup tidak semena-mena terjadi sebaik saja namanya dipanggil untuk mengambil hadiah motosikal itu.

“Saya hampir melangkah kaki untuk balik rumah selepas tidak memperoleh ikan dalam pertandingan memancing itu.

“Seperti tidak percaya, rezeki memihak kepada saya dan tiada ucapan lain yang selain terima kasih tidak terhingga kepada penganjur yang tidak lupa kepada peserta tidak mendapat ikan,” katanya yang sudah memiliki motosikal yang dibeli oleh ayahnya.

Hadiah motosikal itu disampaikan pegawai Daerah Dungun, Mustofa Abd Rahman dan disaksikan Pengurus Projek Khas Berita Harian, Mohd Mizal Hasbullah.

Dua cabutan seterusnya berupa sebuah motosikal mini dan bot gentian kaca dimenangi Mohd Najib Muda, 55; dan Zulkifli Jusoh, 40, yang masing-masing dari sini. Hadiah mereka adalah tajaan dari G-Motosport Sdn Bhd dan Bot Explorer Sdn Bhd.
Sebanyak 50 cabutan bertuah dibuat dalam majlis itu bagi sebagai acara wajib setiap kali tamatnya siri penganjuran GP Joran di seluruh negara dengan hadiahnya berupa peralatan elektrik dan alatan memancing dari sumbangan penganjur dan penaja.

No comments:

Post a Comment