Wednesday, October 13, 2010

Jalan Undur La Pulak


Kereta berundur sejauh 1,010km


Pemandu kenderaan yang melalui Lebuhraya Cheras Kajang terkejut apabila melihat aksi sebuah kereta dipandu secara mengundur yang dilakukan oleh I. Rajagopal untuk mencipta nama dalam Guinness World Records.

KUALA LUMPUR 12 Okt. - Pengalaman memandu secara mengundur sejauh 13 kilometer ke stesen minyak ketika kereta rakannya hampir kehabisan minyak memberi idea kepada seorang pakar motivasi untuk mencipta rekod dunia terhadap aksi tersebut.

I. Rajagopal, 56, berkata, beliau mahu mencatat namanya dalam Guinness World Records dengan memandu secara mengundur melalui jalan negeri sejauh 1,010 kilometer dari Johor ke Kedah sebelum berpatah balik ke Butterworth bagi menamatkan perjalanan dalam tempoh enam hari.

"Dua tahun lalu, saya telah memandu secara mengundur sejauh 88 kilometer dari Johor Bahru sehingga ke Pulai Beach Resort, Desaru untuk mencipta rekod Malaysia.

"Kali ini, saya mahu mengharumkan nama Malaysia dan sekali gus menjadi orang pertama di dunia melakukan aksi sebegini," katanya kepada pemberita sewaktu ditemui di Jalan Rahmat di sini hari ini.

Ketika di sini, Rajagopal bersama konvoi empat kereta yang diiringi polis itu kemudian dilepaskan semula oleh Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu.

Turut hadir Ketua Pemuda MIC, T. Mohan dan Pengerusi Kelab Berkereta Oliver Putra Motorsport Jay Bee, Sa'dun Safihe.

Jelas Rajagopal, objektif utama percubaannya itu adalah untuk menggalakkan perpaduan di kalangan rakyat negara ini dengan mempromosikan semangat 1Malaysia.

"Percubaan saya ini merupakan satu titik tolak kepada generasi muda untuk terus melakukan aktiviti berteraskan nasionalisme dan terus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa," ujarnya.

Sementara itu, Sa'dun berkata, pihaknya turut mahu mengumpul seberapa banyak mungkin tandatangan rakyat negara ini bagi menunjukkan sokongan mereka terhadap gagasan 1Malaysia.

"Kami lakukan kerja murni ini bagi menunjukkan sokongan kepada gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

No comments:

Post a Comment