Suami curang cekik mati isteri
Susunan SHAMRAN SARAHAN
2010/09/25
WANITA ini hanya mahukan suami menyayanginya dan tidak bermain kayu tiga lagi untuk menyelamatkan rumah tangga mereka yang baru berusia lima bulan daripada terus retak.
Vicky ditemui mati dijerut di garaj kediaman sewa mereka di Partington Square, Runcorn, Cheshire, England, pada 3 Disember lalu.
Polis menemui mayat Vicky terlentang dalam garaj dengan kesan jerut di leher dan dipercayai turut dicekik hingga menemui ajal. Vicky dipercayai dibunuh empat hari sebelum itu.
Suspek utama adalah suaminya, Michaels Roberts, 27, yang menghilangkan diri sejak penemuan mayat Vicky. Roberts disyaki melakukan jenayah ini akibat tertekan dengan sikap isterinya selepas Vicky mengetahui hubungan sulitnya bersama wanita lain.
Berhubung kes ini, polis Cheshire menemui beberapa surat ditulis Vicky kepada Roberts menggesa suaminya tidak berlaku curang.
Dalam keratan surat itu, Vicky menulis, “Saya hanya mahukan kamu. Saya tidak sanggup berkongsi kasih dengan wanita lain, saya harap kamu putuskan hubungan dengan mereka.”
Dalam keratan lain surat berkenaan, Vicky turut menyatakan rasa kesal dengan perbuatan suaminya kerana ia bukan saja merosakkan hubungan mereka, malah Roberts sanggup menghabiskan wang untuk bersama wanita lain.
“Sikap kamu keterlaluan sehingga sanggup berbelanja lebih menggunakan kad kredit untuk melayan wanita itu, dan saya pula yang perlu membayar semua kos berkenaan,” kata Vicky dalam suratnya.
Di sebalik wajah tampan dan ceria, Roberts yang juga penolong pengurus syarikat telekomunikasi dipercayai bermain cinta dengan sekurang-kurang dua wanita dan gemar melakukan hubungan seks dengan kenalan wanita baru dikenali.
Daripada pengetahuan isterinya, dia menjalin hubungan gelap bersama Karen Wilson, 26, yang juga rakan sepejabat Roberts.
Vicky juga tidak tahu suaminya turut bermain cinta dengan rakan pejabatnya yang lain, Kerrie Hall, 31. Roberts turut menjalin hubungan dengan pengurus stor, Lavinia Tolley.
Pada hari sama sebelum membunuh Vicky, Roberts sempat bertemu dengan seorang kekasihnya di hotel berhampiran kediamannya.
Hampir tiga hari polis memburu Roberts selepas pembunuhan itu berlaku dan dia ditemui menginap di sebuah hotel dengan menggunakan nama dan pengenalan palsu.
Untuk kes ini, Roberts didakwa di Mahkamah Diraja Liverpool atas tuduhan membunuh isterinya dengan kejam. Selama tiga minggu kes ini berlangsung, Roberts menafikan melakukan jenayah terbabit.
Dia mendakwa isterinya mati akibat melakukan permainan seks dengannya, iaitu ketika melakukan adegan gimnastik seks.
Bagaimanapun, mahkamah menolak penafian itu dan menganggap Roberts berbohong untuk menutup kesalahannya.
“Semua ini adalah pembohongan untuk menutup kesalahan kamu (Roberts) selepas isteri tahu kamu curang,” kata Hakim kepada suspek ketika perbicaraan berlangsung.
Pada 20 September lalu, juri mahkamah mendapati Roberts bersalah atas kesalahan membunuh Vicky dan dijatuhkan hukuman penjara 17 tahun.
>INFO
SUSPEK: Michael Roberts
UMUR: 27 tahun
KERJAYA: Penolong pengurus syarikat telekomunikasi
MANGSA: Victoria Roberts, 25
FAKTA JENAYAH: Roberts mencekik dan menjerut leher isterinya, Victoria hingga mati di garaj kediaman mereka di Partington Square, Runcorn, Cheshire, England, pada 3 Disember lalu. Roberts melakukan jenayahnya selepas isterinya tahu dia curang dengan wanita lain yang juga rakan sepejabatnya
FAKTA KES: Pada 20 September lalu, juri Mahkamah Diraja Liverpool mendapati Roberts bersalah atas kesalahan membunuh isterinya dan dijatuhkan hukuman penjara 17 tahun. Mahkamah turut mendedahkan, Roberts bermain cinta di belakang isteri dengan sekurang-kurang dua wanita dan gemar melakukan hubungan seks dengan kenalan wanita baru dikenali
No comments:
Post a Comment