Friday, October 15, 2010

17 Tahun Masih Tunggu

17 tahun tunggu jawapan temu duga

Saudara pengarang,

SAYA tertarik apabila terbaca surat pembaca bertajuk 'Felcra jangan gagalkan aspirasi kerajaan' yang ditulis oleh Otai Bera dalam ruangan Rakan Pahang bertarikh 9 Julai lalu.

Meskipun surat pembaca tersebut telah lama disiarkan, ia masih signifikan dengan apa yang dialami oleh saya sebagaimana pengalaman yang dilalui oleh Otai Bera.

Mungkin juga bukan hanya saya atau Otai Bera, malah ramai lagi yang senasib dengan kami yang kecewa atau berputih mata selepas tidak mendapat apa yang dihajati.

Kepada Otai Bera yang saya kira berasal dari Bera, Pahang, saudara ada menyatakan bahawa pernah menghadiri temu duga untuk menyertai penempatan Felcra pada 2006.

Sehingga kini, saudara masih belum menerima sebarang jawapan daripada Felcra berhubung temu duga tersebut.

Otai Bera boleh diibaratkan bagai menunggu buah yang tidak jatuh.

Jika saudara Otai Bera terpaksa menunggu selama empat tahun, tempoh itu sebenarnya tidaklah terlalu lama jika dibanding dengan penantian saya.

Saya telah menghadiri temu duga peserta Felcra pada 9 Februari 1993 dan sehingga hari ini, saya belum menerima sebarang jawapan atau keputusan temu duga itu daripada agensi terbabit.

Ini bermakna saya telah menunggu buah yang tidak jatuh selama 17 tahun!

Saya tidak berkecil hati apabila ada peserta temu duga yang merupakan golongan miskin dan memerlukan, berjaya dalam temu duga tersebut.

Tetapi saya terkilan kerana ada di kalangan golongan berada berjaya memperoleh penempatan di Felcra.

Pengalaman menghadiri temu duga Felcra bukan sahaja dialami oleh saya tetapi juga isteri saya pada 24 Ogos 1994.

Sehingga kini, iaitu selama 16 tahun menunggu, surat jawapan hasil temu duga itu masih belum muncul di depan pintu rumah kami.

Apa yang menyedihkan, dalam tempoh penantian itu, isteri saya kini menghidap penyakit lumpuh dan terpaksa berkerusi roda saban hari.

Saya berharap pihak Felcra menyemak semula proses temu duga supaya hasil keputusan sama ada berjaya atau sebaliknya dimaklumkan kepada peserta temu duga.

Ini bagi mengelakkan peserta temu duga tertanya-tanya sama ada berjaya atau sebaliknya.

Langkah itu juga dapat mengelakkan daripada timbulnya persepsi negatif orang ramai terhadap Felcra.

Saya juga tidak mahu Felcra terus dilabelkan sebagai gagal memenuhi aspirasi kerajaan.

PUTIH MATA, Bera

No comments:

Post a Comment