ARKIB : 26/10/2010
Perangkap 'pinjaman peribadi'
Saya terpanggil untuk merungkaikan masalah sebenar yang jarang dikupas oleh Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CEUPACS) mengenai masalah kakitangan kerajaan yang makin meruncing. Tahukah anda kenapa Presiden CEUPACS hanya mementingkan perjuangan untuk :
n Naik gaji bagi kakitangan kerajaan
n Minta bonus satu hingga dua bulan untuk kakitangan kerajaan
n Naikkan COLA untuk kakitangan kerajaan dan segala bentuk kenaikan yang diminta.
Saya amat sedih melihat situasi kakitangan kerajaan yang kesempitan dalam hidup. Ini terjadi akibat kurangnya sikap ambil berat tentang pengurusan kewangan di kalangan kebanyakan mereka. Apa yang saya lihat kadangkala sikap mereka yang tidak suka berjimat dan mengamalkan taraf hidup yang berlebihan menyebabkan situasi ini makin meruncing.
Kakitangan kerajaan merupakan individu yang paling tinggi terperangkap di dalam dilema 'pinjaman peribadi' yang ditawarkan oleh bank-bank tempatan dan pelbagai pinjaman koperasi yang lain. Saya merupakan kakitangan swasta yang bekerja dalam sektor hartanah. Ketika permohonan pinjaman untuk membeli rumah, 80 peratus kakitangan kerajaan yang berpendapatan antara RM2,000.00 hingga RM3,000.00 sebulan, telah terdedah kepada pinjaman peribadi antara RM50,000-RM100,000. Apa yang lebih merunsingkan, tempoh pinjaman ini terlalu panjang dan ada kalanya mencecah 10 hingga 20 tahun.
Pada musim perayaan, sebulan sebelum perayaan dan awal sekolah, dapat dilihat betapa ramainya kakitangan kerajaan berpusu-pusu ke bank membuat pinjaman perayaan pula. Ini agak menguntungkan pihak bank kerana jaminan potongan gaji secara terus tetapi tidak langsung dihiraukan oleh kakitangan kerajaan akan impaknya pada masa akan datang. Bagi mereka, pinjaman RM5,000 untuk hari raya adalah wajar untuk kegunaan hari raya dan awal persekolahan kerana hanya perlu membayar RM100 sebulan selama lima hingga 10 tahun.
Ibu bapa saya merupakan kakitangan kerajaan. Ibu merupakan pesara guru dan bapa saya pula pesara tentera. Namun kemudahan ini cuma pernah digunakan sekali untuk pinjaman RM10,000 sahaja kerana ketika itu empat orang anak menuntut di pengajian tinggi. Masing-masing memerlukan komputer untuk kegunaan kami belajar dan dua orang lagi masih lagi bersekolah.
Kini ibu bapa saya telah bersara dah saya benar-benar terperanjat melihat jumlah simpanan ibu bapa saya sebelum gratutiti adalah hampir 50 peratus daripada jumlah gratuiti yang diperolehi. Setelah menilai cara perbelanjaannya kini baru saya sedari bagaimana mereka boleh menyimpan wang sebanyak itu.
Kedua-dua orang tua turut menerapkan semangat untuk menyimpan wang. Ini kerana kesemua enam orang kami akan diberikan kereta second hand setelah tamat belajar dan dilarang sama sekali untuk mebeli kereta baru. Kereta tersebut dibeli secara tunai tanpa pinjaman bank. Kami cuma perlu membayar kepada mereka tanpa faedah.
Ini berbeza dengan kebanyakan kakitangan kerajaan lain yang lebih rela untuk membeli kenderaan baru demi status yang mereka perolehi. Pernah sekali saya menyuruh ibu membeli kereta baru memandangkan dia ketua kepada stafnya di sekolah, namun ibu berkeras dan berkata tidak perlu menambah hutang yang sedia ada.
Pada hari raya pula kami akan menggunakan perabot dan barangan yang ada, jarang sekali ditukar selagi barang tersebut boleh diguna pakai. Meja makan yang dibeli oleh ibu semenjak saya berumur lima tahun masih lagi dipakai meski pun terdapat kesan terbakar. Ibu cuma menutupnya dengan alas. Kini saya berumur 27 tahun dan yang bertukar cuma kerusi. Ini menunjukkan bahawa sikap jimat cermat sebegini yang membolehkan ibu dan bapa saya menyimpan wang meskipun membesarkan kami enam beradik. Stesen televisyen berbayar pula tidak pernah dilanggan. Kami hanya dapat menikmati fasiliti ini setelah lima daripada enam orang adik beradik kami bekerja.
Ibu bapa saya bijak merancang kewangan dan sikap jimat cermat ini telah menyebabkan mereka selesa sebagai kakitangan kerajaan. Menurut ibu saya, dia sedih melihat ramai orang bawahannya menggunakan kemudahan pinjaman peribadi yang akhirnya menjerat diri. Alasan untuk berkahwin, anak bersekolah, ubah suai rumah, perayaan dan sebagainya tidak patut timbul sekiranya mereka bijak berjimat.
Saya berkahwin dengan suami pada hujung 2010. Kami melaksanakan majlis yang sederhana dan kos perkahwinan kami dapat ditampung dengan hanya wang simpanan tanpa menggunakan sebarang pinjaman.
Seorang rakan saya yang merupakan seorang kakitangan kerajaan membuat pinjaman RM20,000 untuk dirinya dan RM20,000 untuk suaminya yang juga kakitangan kerajaan, untuk melangsungkan perkahwinan mereka. Meski pun majlis tersebut sangat meriah berbanding majlis saya, saya kerap terfikir bahawa pinjaman tersebut belum tentu habis dibayar setelah mendapat anak.
Saya benar-benar berharap agar isu ini dapat dipandang serius. CEUPACS patut melihat masalah sebenar sebelum meminta itu dan ini. Memandangkan masalah ini kian meruncing, sekiranya gaji dinaikkan 100 peratus tetapi mereka enggan menangani isu sebenar, ia hanya akan menjadi duri dalam daging.
PEKERJA SWASTA
Seremban
No comments:
Post a Comment