Artikel ini hanyalah copy and paste dari website akhbar tempatan ataupun dari website individu. Semua kisah misteri, luar biasa , lucu dari dalam dan luar negeri akan dikumpulkan dalam blog ni. Harap anda terhibur dari segala macam ragam manusia.
Wednesday, October 27, 2010
Siti Lagi
Siti Balqis disorok di Gunung Jerai
Oleh Mohammad Ishak
bhkt@bharian.com.my
2010/10/27
KELUARGA percaya Siti Balqis (gambar kecil) berada di Gunung Jerai
Sepupu dakwa lihat gadis dighaibkan jin bersama orang tidak dikenali
JERTIH: Keluarga Siti Balqis Mohd Noor, 22, yakin gadis itu dighaibkan jin dan disorokkan di Gunung Jerai, Kedah sejak Ahad lalu, selepas seorang sepupunya melihat kelibat gadis itu bersama beberapa orang tidak dikenali di depan rumahnya di Sungai Petani.
Ibunya, Norizan Said, 47, berkata beliau menerima panggilan daripada anak saudaranya, Noraini Ghani, 25, dari Sungai Petani tengah hari semalam, mendakwa terkejut selepas ternampak kelibat Siti Balqis dan cuba memanggil gadis misteri itu beberapa kali, tetapi beliau terus ghaib.
“Noraini mengetahui Siti Balqis dighaibkan lagi dan dikatakan berada di Gunung Jerai selepas membaca Berita Harian tengah hari ini (semalam), lalu menghubungi saya memaklumkan apa dilihatnya itu (kelibat Siti Balqis).
“Saya sudah melakukan pelbagai ikhtiar untuk mengesan Siti Balqis yang ghaib tetapi kali ini saya lebih risau kerana kehilangannya agak lama berbanding sebelum ini. Saya percaya Siti Balqis memang berada di Gunung Jerai berdasarkan SMS dikirim selepas dighaibkan, malah beberapa bomoh turut menyatakan perkara yang sama (Siti Balqis disorok di Gunung Jerai),” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Nangka, di sini, semalam.
Norizan berkata, sebelum Siti Balqis dighaibkan semula kira-kira jam 9 malam Ahad lalu, keluarganya berdepan beberapa kejadian aneh termasuk seutas gelang besi tiba-tiba jatuh di ruang tamu rumahnya yang turut disaksikan beberapa bomoh yang berada di rumahnya ketika itu.
Katanya, selepas itu sebiji bola besi berwarna hijau pula jatuh di ruang tamu dan ramai ahli keluarga merebut mahu melihat bola berkenaan dan serentak itu Siti Balqis dighaibkan tanpa disedari ahli keluarga yang sebelum itu mengawal ketat gadis berkenaan.
Sementara itu, usaha Berita Harian menghubungi Siti Balqis menerusi nombor yang diberikan oleh ibunya beberapa kali gagal, malah, Norizan sendiri sudah menghantar beratus SMS kepada Siti Balqis untuk mengetahui lokasi sebenarnya namun tiada jawapan sehingga jam 8 malam semalam.
Norizan berkata, keluarganya juga mengundang pelajar tahfiz al-Quran Bukit Kenak, dekat sini, untuk mengadakan bacaan ayat suci al-Quran malam semalam bagi memohon keberkatan Allah supaya Siti Balqis dikembalikan semula kepada keluarganya.
Siti Balqis sekali lagi menggemparkan ahli keluarganya apabila kembali ghaib kira-kira jam 9 malam Ahad lalu dan belum ditemui hingga malam semalam.
Malah, kehilangan gadis terbabit kali ini lebih membingungkan apabila buat kali pertama dikatakan berada di lokasi agak jauh dari rumahnya di Gunung Jerai, selepas tidak hilang dalam tempoh 15 hari sebelum itu selepas mendapat rawatan perubatan Islam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment