Wednesday, October 13, 2010

Kerang


Bersanding dalam 'kerang'


IDHAM Shah Idris dan Norzalinda Kamaluddin merealisasikan impian bersanding di atas pelamin berbentuk kulit kerang di Pusat Dagangan Mahkota, Kuantan, kelmarin.

KUANTAN 12 Okt. - Pelbagai cara dan konsep diimpikan setiap pasangan yang melangsungkan perkahwinan supaya hari bersejarah itu dapat dijadikan kenangan seumur hidup.

Begitulah yang dilakukan pasangan mempelai, Idham Shah Idris, 28, dan Norzalinda Kamaluddin, 27, yang bukan sahaja memilih tarikh 10.10.10 sebagai hari pernikahan mereka, malah merealisasikan impian untuk bersanding di atas pelamin berbentuk kulit kerang, di sini semalam.

Menurut Norzalinda yang bekerja sebagai pegawai Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), idea itu tercetus apabila dia terpandang sebuah kereta berhias yang dihiasi kulit kerang dalam satu pesta keramaian di sini sewaktu berusia 12 tahun.

"Pada masa itu, dalam kulit kerang tersebut terdapat seorang puteri yang dihias cantik dan situlah saya mula memasang angan-angan untuk bersanding di dalam kulit kerang suatu hari nanti," katanya ketika ditemui pada majlis perkahwinannya di Pusat Dagangan Mahkota, di sini kelmarin.

Menurut Norzalinda, pada mulanya dia dan suami agak bimbang memikirkan jika tiada siapa yang sanggup menunaikan impian mereka namun perasaan tersebut hilang apabila seorang perancang perkahwinan, Ann Hariz, 39, sanggup menerima cabaran tersebut.

Sementara itu, Idham Shah, seorang usahawan, pada mulanya menyifatkan impian isterinya untuk bersanding di pelamin kerang adalah suatu perkara yang sukar dilaksanakan.

Namun menurutnya, demi impian isteri yang tertanam sejak kecil lagi, dia sanggup melakukan apa sahaja dan akhirnya tercapai walaupun pada mulanya pelbagai dugaan berlaku.

"Alhamdulillah akhirnya hajat kami termakbul dan berpuas hati atas usaha yang dilakukan selama ini," katanya.

No comments:

Post a Comment