Saturday, March 5, 2011

Benghok

Mencari titik noktah kes Beng Hock

Oleh AMIRUDDIN HARUN
pengarang@utusan.com.my
SEHINGGA kini telah 13 hari Suruhanjaya Siasatan untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock bersidang sejak dimulakan pada 14 Februari lalu. Sebelum ini prosiding inkues untuk menentukan punca kematiannya telah berlarutan selama 15 bulan tujuh hari.

Tempoh lebih setahun diperlukan untuk memuktamadkan inkues walaupun pada peringkat awal, ia dijangka selesai dalam tempoh sebulan. Dalam inkues tersebut, sebanyak 37 saksi termasuk pakar patologi dari Thailand, Dr. Pornthip Rojanasunand diberi peluang memberi keterangan.

Inkues yang bermula pada 29 Julai 2009 berakhir dengan Mahkamah Koroner di Shah Alam pada 5 Januari lalu membuat keputusan terbuka (open verdict) iaitu kematian Beng Hock bukan akibat dibunuh mahupun membunuh diri atau wujudnya pihak ketiga dalam kes tersebut.

Beng Hock, 30, setiausaha politik kepada anggota Exco kerajaan negeri Selangor ditemui mati pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14 Plaza Masalam, Shah Alam.

Inkues bagi menyiasat dan menentukan punca kematian Beng Hock diadakan ekoran kematiannya menimbulkan tanda tanya kerana beberapa jam sebelum itu, dia dipanggil ke SPRM untuk disoal berhubung dakwaan penyalahgunaan wang peruntukan kerajaan negeri Selangor.

Bagi Suruhanjaya Siasatan tersebut pula, ahli-ahli panelnya telah diberi tempoh selama tiga bulan untuk menyelesaikannya sebelum laporan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 25 April ini.

Begitulah istimewanya perhatian yang diberikan kepada seorang anak muda bernama Teoh Beng Hock. Memang banyak yang telah diperkatakan tentang kes pemuda itu dan memang tidak dapat dinafikan kesedihan yang ditanggung oleh keluarganya. Malahan kematiannya itu turut menimbulkan rasa simpati rakyat negara ini.

Berikutan itu, kerajaan telah bersetuju meneruskan ketetapan yang dibuat pada 22 Julai 2009 iaitu mewujudkan Suruhanjaya Siasatan tersebut, dua hari selepas keputusan inkues diumumkan ekoran ketidakpuasan hati ahli keluarga Beng Hock.

Sebenarnya, kes ini adalah satu kes yang agak mudah iaitu berkaitan bagaimana Beng Hock menemui ajalnya dan sama ada prosedur yang betul telah dipatuhi semasa pemuda itu dipanggil memberi keterangan sebagai saksi oleh SPRM.

Biarpun begitu, kematian pemuda ini dilihat seolah-olah telah cuba diambil kesempatan oleh pihak-pihak tertentu sehingga menimbulkan kekeliruan. Inilah yang dapat dilihat semasa inkues dijalankan dan kini ia diteruskan pula pada suruhanjaya tersebut apabila ia 'ditinggalkan' oleh ahli keluarga Beng Hock sendiri bersama dua peguamnya.

Tindakan yang sama turut disusuli oleh peguam yang mewakili kerajaan negeri Selangor.

Sungguhpun ia bukan sesuatu yang menyenangkan, ahli-ahli suruhanjaya tersebut terpaksa menghadapi situasi itu dan terus tekun melaksanakan tugas mereka meneliti keterangan-keterangan berhubung saat-saat akhir kehidupan seorang anak muda.

Bagi saksi-saksi pula, walaupun telah memberi keterangan pada prosiding inkues, mereka dengan penuh sabar sanggup dan tetap bersedia mengulangi semula keterangan mereka di hadapan panel suruhanjaya. Maka, adalah wajar kesanggupan mereka itu dihargai dan disanjung tinggi.

Kini setelah tiga minggu prosiding suruhanjaya itu dijalankan, dua pakar perunding perubatan forensik tempatan kekal dengan pandangan mereka bahawa kes itu merupakan kes bunuh diri. Pendapat yang sama ketika mereka memberi keterangan pada prosiding inkues.

Pakar perubatan forensik dari London, Profesor Peter Vanezis sebelum ini juga dalam keterangannya menyimpulkan kes itu melibatkan kejadian bunuh diri dan hanya Pornthip yang hadir atas undangan kerajaan negeri Selangor menolak andaian sedemikian.

Rumusan yang tidak selari itulah yang cuba dicari titik noktah oleh kerajaan agar semua pihak terlibat berpuas hati. Namun kita tidak harus lupa segala yang dilakukan oleh suruhanjaya tersebut pastinya menelan belanja yang bukan sedikit.

Jumlah tersebut juga semakin meningkat apatah lagi pelbagai usaha dibuat agar kematian Beng Hock akan dapat disiasat seadil-adilnya. Usaha ini termasuklah melantik penyiasat bebas, Michael Leslie Squires dari Britain dan pembinaan secara animasi senario kejadian Beng Hock jatuh dari tingkat 14 Plaza Masalam.

Ini tidak dikira kos perbelanjaan untuk mengundang sekali lagi Pornthip dan Vanezis untuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan. Dari mana semua kos ini perlu dicari? Sudah semestinya datang daripada duit pembayar cukai iaitu rakyat negara ini.

Justeru, biarlah suruhanjaya tersebut dibenarkan menjalankan tugasnya dengan cekap dan lancar kerana penghujungnya, apa yang dikehendaki oleh orang awam adalah kesudahan kes itu. Tidak perlulah gangguan luar atau ia cuba dipolitikkan oleh mana-mana pihak semata-mata memperjuangkan keadilan dari kata mata mereka.

Tentunya amat malang sekali jika kes ini disulami oleh agenda pihak-pihak tertentu yang berhasrat mengheretnya ke sidang Parlimen yang akan bermula pada Isnin ini atau menjajanya semasa pilihan raya kecil mahupun pilihan raya umum yang akan datang.

Berilah peluang kepada Suruhanjaya Siasatan menjalankan tugasnya dengan tenteram dan hanya selepas tugas itu selesai, barulah keluarga Beng Hock diberi ruang menentukan apa tindakan seterusnya.

Ini perlu supaya keyakinan rakyat kepada institusi negara seperti suruhanjaya yang diwujudkan oleh kerajaan, tidak akan terhakis kerana ia merupakan tunjang kepada kehidupan masyarakat. Hilang kepercayaan tersebut, tiada lagi yang boleh dibanggakan oleh sesebuah negara.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment