Sunday, March 6, 2011

Minyak Masak Kitar semula

Bongkar sindiket kitar semula minyak masak


KLANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) membongkar satu sindiket mengitar semula minyak masak yang sudah diguna sebelum dijual semula kepada orang ramai di pasaran tempatan, kelmarin.

Kerja jahat sindiket yang didalangi dua warga tempatan berusia 30-an dan 40-an itu dibongkar oleh KPDNKK Putrajaya melalui ‘Ops Goreng’ dan serbuan ke atas sebuah premis haram di Pandamaran, di sini.


Dalam serbuan 5.30 petang itu, hampir 40,000 kilogram minyak masak bernilai kira-kira RM200,000 dirampas.

Seramai sembilan pegawai dan anggota KPDNKK Putrajaya diketuai Ketua Operasi KPDNKK Putrajaya, Hashim Daud.


Malah ketika serbuan, seorang daripada lelaki terbabit memecut laju lorinya sejauh hampir lapan kilometer sebelum berjaya dipintas.


Hashim berkata, hasil siasatan mendapati sindiket terbabit akan mengambil atau membeli minyak masak yang sudah digunakan dari restoran dan hotel di sekitar Lembah Klang sebelum ia dicampur dengan minyak masak baru.


“Minyak masak ini kemudian dibungkus seperti minyak masak baru dan dijual di pasaran.


“Pengguna biasanya tidak dapat membezakan sama ada minyak masak yang mereka beli itu baru atau sebaliknya,” katanya di sini, semalam.


Sindiket terbabit dipercayai bergerak aktif sejak dua tahun lalu dan kejayaan itu hasil maklumat awam sebelum KPNDKK Putrajaya membuat risikan hampir dua minggu lalu.


Hashim berkata, 40,000 kilogram minyak masak yang dirampas itu boleh dibungkus sekurang-kurangnya sebanyak 40,000 paket minyak masak dan jika ia dijual, sindiket terbabit mampu memperoleh pendapatan lumayan.


Menurutnya, pihaknya juga akan menyiasat pembekal minyak masak kitar semula itu dan akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang didapati menyeleweng.


“Ini satu kejayaan kepada KPDNKK dan kami akan terus melakukan pemantauan bagi mengelak pengguna daripada tertipu,” katanya sambil menambah, minyak masak itu dirampas untuk tindakan lanjut.


Kes itu disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 bagi individu manakala syarikat sehingga RM250,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya.

No comments:

Post a Comment