Tuesday, March 1, 2011

Beli semua sy bas

Beli semua syarikat bas

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN
pengarang@utusan.com.my
TAWARAN Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA) kepada kerajaan agar membeli semua syarikat pengusaha bas yang mengendalikan perkhidmatan bas henti-henti di seluruh negara perlu dilihat dari pelbagai sudut.

Presidennya, Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata, tawaran berkenaan itu dibuat selepas perkhidmatan pengangkutan awam itu dilihat tidak berdaya untuk menanggung kerugian sepanjang tempoh 15 tahun mereka beroperasi.

Para pengusaha bas berhenti-henti mendakwa mereka berada dalam keadaan yang tenat dan sedang nazak ekoran terpaksa menanggung kerugian dan kemungkinan terpaksa gulung tikar pada bila-bila masa sahaja.

Mereka mendakwa tidak ada usaha serius daripada pihak kerajaan untuk menyelamatkan industri yang semakin merudum itu sehingga menyebabkan ramai pengusaha terpaksa menanggung kos operasi yang semakin meningkat saban tahun.

Sehubungan itu, PMBOA mengesyorkan beberapa cadangan agar pihak kerajaan mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan industri ini sebelum keadaan kelam kabut berlaku.

PMBOA mahu dasar kerajaan yang lebih jelas kerana umum mengetahui sehingga kini kerajaan masih belum mewujudkan satu Dasar Pengangkutan Negara sebagai gagasan memacu kepada perkhidmatan pengangkutan awam yang efisien dan bersepadu.

''Belum wujud satu sistem pengangkutan awam dalam industri ini walaupun negara sudah merdeka 54 tahun. Ketiadaan Dasar Pengangkutan sebagai landasan mewujudkan suatu sistem pengangkutan awam yang murah, mudah dan efisien menjadikan industri ini di dalam keadaan kacau bilau serta kalut.

''Kemelut ini akan berterusan sekiranya kerajaan tidak mengambil tindakan segera melalui rancangan jangka pendek dan panjang, perlu diingat bahawa industri pengangkutan sangat signifikan kepada penjanaan ekonomi negara.

''Sebagai langkah pertama, kerajaan perlu wujudkan sebuah 'transport master plan' untuk Lembah Kelang dan di negeri-negeri lain," katanya kepada Utusan Malaysia mengenai intipati surat cadangan yang telah dihantar kepada Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar.

Mohamad Ashfar berkata, walaupun SPAD telah mengeluarkan kenyataan bahawa Dasar Pengangkutan Negara akan siap pada September depan, para pengusaha merasakan mereka tidak mungkin dapat bertahan sebegitu lama.

Ini kerana mereka tidak tahu bentuk serta kerangka dasar yang sedang digubal itu sama ada memberi cahaya kepada mereka ataupun sebaliknya. Justeru, mereka amat berharap agar kerajaan mengambil perhatian terhadap syor-syor yang dikemukakan oleh PMBOA.

Antara cadangan yang dikemukakan ialah kerajaan perlu menjelaskan secara terperinci penyelesaian untuk mengatasi kemelut membabitkan pengusaha bas berhenti-henti kerana penglibatan kerajaan pusat dan negeri dalam industri bas berhenti-henti melalui anak-anak syarikatnya semakin meningkat.

''Ini menggusarkan para pengusaha bas yang merasakan bahawa kerajaan secara langsung terlibat dalam industri tersebut dan bukan lagi sebagai pendukung tetapi telah menjadi pesaing mereka di seluruh negara.

Sejak tahun 2000 beberapa perkara telah berlaku sehingga menyulitkan syarikat bas berhenti-henti beroperasi dengan keuntungan dan secara efisien.

Antaranya kutipan tambang bas menurun tahun demi tahun dan faktor-faktor utama yang mengakibatkan kemerosotan ini adalah terlampau banyak permit dikeluarkan oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) tanpa mengkaji dengan teliti keperluannya menyebabkan wujudnya laluan berlapis.

Penumpang bas semakin berkurangan kerana ramai yang memiliki kereta dan motosikal sendiri dan pengusaha bas terpaksa juga bersaing dengan kereta sapu, van sapu, bas sewa khas dan bas kilang yang beroperasi secara terbuka walaupun aduan sudah banyak dibuat kepada LPKP, polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Hakikatnya, kata Mohamad Ashfar, industri bas memerlukan modal yang tinggi untuk membeli bas dan menggantikannya, lebih memberi tekanan apabila LPKP menetapkan jangka hayat bas selama 15 tahun bagi bas berhenti-henti. Para pengusaha terpaksa menjual bas mereka pada harga nilai lupus walaupun bas mereka masih dalam keadaan baik

''Bayangkan, pengusaha terpaksa membeli bas baru yang mana kebanyakannya tidak mampu membiayai kos baru, membayar gaji pekerja termasuk KWSP, Socso, insurans dan perubatan yang menguasai 40 peratus daripada jumlah kos operasi.

''Jika dibandingkan dengan industri lain, kadar gaji pekerja industri bas adalah amat rendah, ini menyebabkan bilangan pekerja berkurangan setiap tahun, akibatnya perkhidmatan tidak dapat dikendalikan dengan cekap dan disiplin tidak dapat dikawal

''Majikan memang berhasrat menaikkan gaji untuk membantu meningkatkan taraf hidup serta mendapat pekerja yang lebih berkualiti, tetapi tidak mampu berbuat demikian kerana mengalami kesulitan dari segi kewangan yang kian merosot.

''Ini adalah disebabkan pendapatan kami terkawal tetapi perbelanjaan tetap meningkat hari demi hari, gaji pekerja secara automatik akan meningkat 10 peratus setiap tahun mengikut perjanjian bersama dengan kesatuan pekerja," katanya.

Beliau turut menyenaraikan peningkatan kos membaiki kenderaan yang meningkat sehingga 60 peratus, kos tayar meningkat 100 peratus dalam jangka masa lima tahun, kos bateri meningkat sebanyak 172 peratus, juga dalam jangka masa lima tahun.

Lebih memberi tekanan terminal bas di kebanyakan bandar sudah diswastakan, pengusaha yang dulunya dikenakan bayaran RM200 ke RM1,000 sebulan telah diarah membayar antara RM1,500 hingga RM10,000 sebulan iaitu antara lapan hingga 10 kali ganda.

Sehubungan itu, PMBOA mencadangkan agar kerajaan wujudkan tabung pengangkutan awam bagi memudahkan pengusaha bas henti-henti membuat pinjaman dengan kadar faedah yang rendah dalam tempoh bayaran balik yang panjang.

''Atau kerajaan membeli bas-bas baru dan kemudiannya ditender semula kepada pengusaha untuk menjalankan perkhidmatannya mengikut terma dan syarat yang dipersetujui bersama. Kerajaan kemudiannya menggantikan bas baru setiap 10 atau 15 tahun sekali kerana itulah PMBOA mengharapkan ada sinar baru untuk para pengusaha," katanya.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment