Tempoyak patin jadi pilihan utama
TEMERLOH 28 Feb. - Masakan asam tempoyak ikan patin menjadi lebih 'panas' berbanding calon parti yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau di sini.
Ia berikutan pelbagai pihak khususnya pemimpin dan ahli parti yang datang dari luar Pahang berkumpul di kawasan itu, mencari masakan popular di negeri ini.
Keghairahan penyokong parti-parti bertanding menarik sokongan pengundi memilih calon mereka tidak sehebat mencari masakan tersebut yang didapati dijual di sekitar Kerdau dan bandar ini.
Apa tidaknya, masakan berkenaan yang panas, sedap dimakan pada waktu tengah hari selepas berkempen dari rumah ke rumah serta menghadiri majlis tertentu.
Sesuai dengan jolokan Bandar Ikan Patin, bandar ini menjadi tumpuan orang-orang luar terutama pelbagai pemimpin parti singgah menikmati masakan berkenaan.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar bandar ini mendapati masakan tersebut dijual di warung di tepi jalan sepanjang laluan ke kawasan DUN Kerdau, iaitu di Pekan Kerdau, Kuala Krau dan Bandar Tun Razak.
Kebiasaannya, harga masakan ikan patin yang diperoleh dari Sungai Pahang antara RM15 hingga RM20 seketul atau lebih mengikut pasaran semasa.
Seorang ahli UMNO dari Kedah, Hashim Man, 45, berkata, dalam membantu kempen partinya di sini, dia mengambil kesempatan menikmati kelazatan masakan asam tempoyak ikan patin.
''Sudah banyak kali dengar daripada rakan dan menerusi akhbar Utusan Malaysia mengenai kelazatan masakan ikan patin itu. Hari ini, saya mencuba, ternyata sungguh enak dan berselera," katanya selepas menikmati hidangan di Pekan Kuala Krau di sini.
Katanya, kunjungan ke kawasan Kerdau cukup bermakna kerana dapat menikmati masakan tersebut. malah, nostalgia itu akan terpahat sampai bila-bila masa apabila dapat membantu kemenangan calon BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad pada pilihan raya kecil 6 Mac ini.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment