Monday, March 21, 2011

Tiang Berkaran



Anak terbujur tepi tiang lampu
Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@hmetro.com.my


PILU...Mohd Marzuki (gambar kecil) menunggu hasil bedah siasat di luar bilik Mayat PPUM, semalam.

MUHAMMAD NAQIUDDIN...maut
KUALA LUMPUR: “Luluh hati saya sebaik melihat anak sulong terbujur kaku di tanah. Malah, hampir pitam apabila mendapati dia tidak bernyawa,” kata Mohd Marzuki Muda, 44, bapa Muhammad Naqiuddin, 11, yang maut selepas terkena renjatan elektrik ketika bermain bola di kawasan permainan di Taman Perumahan Batu 3, Shah Alam, dekat sini, kelmarin.

Difahamkan, mangsa terkena arus elektrik voltan tinggi pada sebatang tiang lampu yang dipercayai mengalami masalah teknikal sejak beberapa bulan lalu di kawasan padang permainan berkenaan.
Malah, sebulan lalu seorang kanak-kanak dilaporkan terkena renjatan elektrik ketika terpegang tiang itu, namun tidak mengalami kemalangan jiwa.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 petang itu, Marzuki berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan rakan-rakan anaknya sebelum bergegas ke tempat kejadian.


Menceritakan kejadian itu, Marzuki berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, dia mengambil kayu untuk menjauhkan anaknya dari kawasan tiang lampu itu sebelum mendapati wajah Naqiuddin seperti terbakar.



“Selepas yakin tiada arus elektrik pada tubuhnya, saya mengusap dahi Naqiuddin sebelum mendapati seluruh tubuhnya panas.

“Biarpun pemeriksaan saya mendapati Naqiuddin tidak bernyawa, saya tidak putus-putus mendoakan keselamatannya dan berharap dia dapat diselamatkan,” katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini, semalam.

Menurutnya, dia dengan bantuan penduduk sekitar membawa anak sulungnya ke hospital swasta berhampiran kawasan berkenaan.

“Doktor mengesahkan Naqiuddin sudah meninggal dunia apabila arus elektrik memberi kesan kepada jantungnya. Atas arahan doktor, Naqiuddin dipindahkan ke PPUM untuk bedah siasat,” katanya.

Katanya, sebelum kejadian itu, anak ketiganya, Mohd Idzuddin, 4, berperangai pelik seolah-olah sesuatu perkara buruk akan berlaku apabila sering merengek untuk pulang ke kampungnya di Kampung Telaga Nibong, Jerteh, Terengganu.

“Saya tidak menyangka rengekan itu menandakan kehilangannya,” katanya.

Menurutnya, anaknya yang juga murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Seksyen 20 itu sentiasa taat kepadanya dan isteri, Ros Zakaria, 30-an.

“Sebelum Naquiddin keluar rumah, dia meminta kebenaran bermain di padang, malah sempat menunaikan solat Zuhur dan Asar,” katanya.

Difahamkan, jenazah Allahyarham Muhammad Naquiddin akan dikebumikan di Jerteh, Terengganu hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan kes berkenaan.

Katanya, laporan bedah siasat mendapati punca kematian kerana renjatan elektrik.

Menurutnya, pihaknya sehingga kini menanti laporan daripada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang masih menyiasat punca kemalangan itu.



>Menjerit sebelum kaki melekap


SHAH ALAM: Jeritan Muhammad Naqiudin Marzuki, 11, sebaik terkena renjatan elektrik sebelum tidak sedarkan diri mengejutkan lima rakannya yang bermain bola sepak di padang permainan di Lorong Intan, Batu Tiga, Shah Alam, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 petang itu, Naqiudin dalam perjalanan pulang ke rumah selepas tamat bermain bola sepak bersama rakan-rakannya.


Bagaimanapun, dia yang berlari di berhampiran tiang lampu di kawasan berkenaan terkena arus elektrik sebelum rebah.

Saksi kejadian yang juga rakan sepermainan mangsa, Mohd Salman Shahmi, 11, berkata ketika bermain Muhammad Naqiudin memberitahu mahu berhenti daripada bermain.


“Naqiudin memberitahu mahu pulang ke rumah dan kami tidak menghalangnya kerana hari pun sudah lewat,” katanya.


Mohd Salman berkata, seorang rakan melihat Naqiudin berlari ke lampu tiang sebelum menasihatkannya supaya tidak menghampiri kawasan berkenaan kerana tahu ada arus elektrik pada tiang itu.

“Sama ada Naqiudin dengar atau tidak, saya tidak pasti dan ketika kami menyambung permainan, kami dengar jeritan kuat sebelum melihat Naqiudin terbaring berhampiran tiang itu.


“Pada mulanya kami hendak tolong, tapi takut. Kami kemudian memberitahu ahli keluarganya,” katanya.


Penduduk, Razali Abdullah, 52, berkata ketika kejadian, dia berehat di hadapan rumahnya sebelum melihat beberapa kanak-kanak bergegas ke rumah jirannya.


“Tidak lama kemudian saya lihat jiran bergegas keluar rumah dan memberitahu saya mengenai kejadian terbabit dan saya ke tempat kejadian.


“Sebaik sampai, saya lihat dia tidak sedarkan diri dan tertiarap manakala sebelah kakinya masih melekap pada tiang lampu terbabit. Saya dan bapanya mencapai sebatang kayu lalu cuba menarik kaki arwah jauh dari tiang elektrik itu,” katanya, semalam.

No comments:

Post a Comment