Wednesday, March 30, 2011

Wanita Belajar Silat


Galak wanita pelajari silat

BATU CAVES - Kejadian jenayah yang tidak diduga menuntut remaja perempuan mempelajari seni pertahanan sekiranya berlaku kecemasan.

Timbalan Pengerusi Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PPSGM) Gelanggang Datuk Cindai Pinggiran Batu Caves Fasa 2, Rusli Ismail berkata, pada zaman ini, remaja perempuan sangat digalakkan mempelajari seni pertahanan diri.

Menurutnya, mempelajari silat bukan sahaja untuk mempertahankan diri sahaja tetapi juga untuk keluarga dan bangsa sekiranya berlaku kecemasan tanpa diduga.

“Sejak kebelakangan ini, banyak kes jenayah yang berlaku dalam negara melibatkan mangsa wanita kerana mereka adalah prospek yang mudah untuk menjadi mangsa.

“Kes ragut, cabul, rogol dan bunuh banyak melibatkan kaum ini sebagai mangsa yang tidak berdosa kerana mungkin dianggap lemah. Tetapi, perkara ini boleh dielakkan sekiranya mereka mempelajari seni pertahanan diri,” katanya ketika ditemui pada Program Ujian Kenaikan Bengkong Silat Seni Gayong Daerah Gombak di Padang Pinggiran Batu Caves Fasa 2, baru-baru ini.

Seramai 125 pesilat menerima bengkong masing-masing sekitar Daerah Gombak berusia enam hingga 20 tahun pada program berkenaan.

Rusli berkata, program ini merupakan yang pertama kali dianjurkan oleh Gelanggang Tok Cindai Pinggiran Batu Caves Fasa 2 sebagai tuan rumah peringkat daerah Gombak.

“Alhamdulillah, sambutan anak muda mempelajari seni ini semakin baik dan berharap banyak lagi usaha untuk mempromosikan seni silat ini sepertimana Gelanggang Tok Cindai yang sudah mempunyai 41 ahli.

“Mempelajari seni ini bukan sahaja untuk mempertahankan diri semata-mata tetapi juga membentuk sahsiah dan disiplin yang baik kepada pesilat,” katanya.

Menurutnya, penyertaan remaja perempuan sememangnya amat digalakkan dan kepada mereka yang berminat baik boleh hadir ke Gelanggang Tok Cindai di Padang Pinggiran Batu Caves Fasa 2.

Latihan diadakan setiap Jumaat dan Sabtu malam pada jam 9 hingga 11 malam.

No comments:

Post a Comment