Artikel ini hanyalah copy and paste dari website akhbar tempatan ataupun dari website individu. Semua kisah misteri, luar biasa , lucu dari dalam dan luar negeri akan dikumpulkan dalam blog ni. Harap anda terhibur dari segala macam ragam manusia.
Friday, March 11, 2011
Bantu Baiki Rumah
Warga emas rayu bantuan baik pulih rumah
MAT Suhor menunjukkan dinding rumah yang sudah terlalu uzur dan perlu dibaiki segera di Kampung Baru Gunung Senyum, Kuala Krau, baru-baru ini.
KUALA KRAU 10 Mac - Harapan sepasang warga emas di Kampung Baru Gunung Senyum di sini untuk mendapat bantuan membaik pulih rumah masih tidak kesampaian walaupun telah menanti sejak dua tahun lalu.
Mat Suhor Ahmad, 75, dan isteri, Zawiah Mat, 73, masih mengharapkan bantuan dijanjikan bagi membaiki rumah mereka yang semakin uzur dimamah usia.
Menurut Mat Suhor, bantuan dijanjikan masih tidak kunjung tiba sedangkan pada masa sama, struktur rumahnya semakin usang dan menanti masa untuk rebah.
"Rumah dibina lebih 40 tahun lalu semakin uzur terutama pada bahagian rasuk dan dinding yang dimakan anai- anai.
"Bahagian tengah tidak lagi selamat untuk didiami malah tidak mustahil boleh runtuh pada bila-bila masa," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di rumah itu mendapati kediaman warga emas tersebut perlu dibaiki segera kerana banyak kayunya reput dimakan anai- anai.
Mat Suhor berasal dari Pulau Tawar, Jerantut memberitahu, oleh kerana pada bahagian tengah rumah mungkin runtuh, menyebabkan mereka sekeluarga sentiasa berada di dapur dan ruang tamu terutama pada musim hujan dan angin ribut.
Menurutnya, dengan pendapatan mengambil upah menoreh getah, dia tidak mampu mengeluarkan belanja membaiki rumahnya.
Berikutan itu, dia sangat kecewa kerana permohonan mendapatkan bantuan membaiki rumah tidak dilayan.
"Pihak berkenaan perlu turun padang melihat kedaifan rumah dan membuat penilaian," tegasnya.
Menurut Mat Suhor, beberapa pegawai jabatan berkaitan pernah membuat tinjauan dan penilaian kerosakan rumah dan berjanji untuk membantu.
Bagaimanapun ujarnya, selepas lebih setahun, ia ibarat 'menunggu buah yang tidak gugur.'
Mat Suhor berharap, hasrat untuk melihat rumahnya dibaiki dapat direalisasikan jika ada mana-mana pihak sudi menghulurkan bantuan kewangan.
"Saya juga pernah memohon projek rumah mesra rakyat dua tahun lalu tetapi ditolak dengan alasan tidak layak atas faktor lebih umur," katanya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment