Saturday, March 19, 2011

Bomoh Ekor Tipu


Nyaris bunuh diri rugi RM136,292
Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my


MANGSA TIPU...Ng sedih rugi RM136,292.
KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga emas hampir membunuh dirinya akibat tekanan melampau selepas ditipu ‘tok guru’ nombor ekor yang mendakwa beroperasi di sebuah rumah ibadat di Utara tanah air menyebabkannya kerugian lebih RM100,000.

Difahamkan, kejadian bermula selepas mangsa, bekas penjawat awam menerima risalah yang menyiarkan janji kosong untuk memenangi wang RM1.5 juta melalui cabutan empat nombor ekor pada November tahun lalu. Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ng, 72, terlalu taksub mempercayai dakwaan itu selepas membaca testimoni yang terkandung dalam risalah terbabit sebelum menelefon nombor telefon tertera bagi mengetahui lebih lanjut bagaimana untuk mengubah nasibnya yang bergantung hidup pada wang pencen.


Menurutnya, gambar patung berhala pada risalah itu serta senarai pemenang nombor ekor menjadikannya yakin untuk menghubungi nombor telefon berkenaan.

“Seorang lelaki yang dikenali sebagai Lee menjawab panggilan itu dan dengan nada meyakinkan, dia menerangkan mengenai skim berkenaan yang akan membolehkan saya memenangi wang RM1.5 juta melalui pembelian nombor ekor.


“Saya memasukkan RM250 ke dalam akaun diberikan untuk mendaftarkan diri pada 15 November lalu,” katanya ketika membuat pendedahan di Biro Pengaduan Awam MCA, di sini, semalam.


Katanya, dia diminta memasukkan lagi RM360 dan RM500 dua hari berturut-turut dan pada 17 November lelaki itu menghubunginya untuk memaklumkan dia sudah memenangi cabutan nombor ekor bernilai RM1.5 juta.


Ng berkata, lelaki itu berjanji menghantar slip nombor ekor itu dan dia menerimanya melalui pos beberapa hari kemudian.


Bagaimanapun, katanya, lelaki berkenaan berkata dia perlu memasukkan sejumlah wang lagi bagi bagi urusan ‘sembahyang’, melindungi tiket loteri berkenaan serta mendakwa dia ditahan di Thailand kerana menyimpan nombor loteri yang sudah dimenangi itu.


“Saya yang yakin sudah memenangi wang jutaan ringgit memasukkan lebih banyak wang ke dalam akaun milik seorang lelaki bernama Tan Chung San sehingga kehabisan wang simpanan berjumlah RM136,292.


“Setiap kali dihubungi Lee atau tok guru yang dipercayai berasal dari Thailand dan fasih berahasa Malaysia, mereka turut menyanyikan sebuah lagu berunsur keagamaan dan saya bagai dipukau mengikut setiap permintaan mereka,” katanya.


Katanya, permintaan terakhir Lee adalah memasukkan wang RM52,000 untuk membayar cukai kepada Bank Negara dan disebabkan dia kehabisan wang simpanan, dia membuat keputusan meminjam dengan anak saudaranya.


“Saya hanya sedar selepas anak saudara menyergah ketika meminta wang dan selepas itu, saya menjadi tertekan dan hampir membunuh diri.


“Bagaimanapun, adik saya membantu membuat laporan polis dan laporan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna berhubung kejadian itu,” katanya.


Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Micheal Chong berkata, sebanyak 16 kes membabitkan penipuan menggunakan risalah nombor ekor yang bersifat keagamaan direkodkan pihaknya sejak 2008.


Menurutnya, semua mangsa ditipu melalui modes operandi sama dan ada juga mangsa membuat pinjaman dengan ceti haram semata-mata untuk memenuhi permintaan bomoh nombor ekor itu.


“Mangsa yang semuanya warga emas terdiri dari berbilang bangsa dan secara keseluruhan, mereka hilang kira-kira RM2 juta,” katanya.

Kongsi artikel ini menerusi media sosial

1 comment:

  1. Akbar BH ada kepetusan nombor ekor Boikot BH! Nombor ekor haram

    ReplyDelete