Tuesday, March 8, 2011

Burger Azwan Ali Da


Burger Azwan Ali, 'Throw Throw' popular di Jerantut


AZWAN Ali melayan pelanggan di gerainya di bandar Jerantut, baru-baru ini.

Jerantut 7 Mac - Bagi penggemar burger di bandar ini, pelbagai hidangan istimewa terdapat di Throw Throw Burger Corner milik Azwan Ali.

Namun gerai tersebut bukan milik artis yang bernama Azwan Haji Ali tetapi seorang anak muda yang berasal dari Semporna, Sabah iaitu Azwan Ali Ibrahim.

Kebiasaannya hanya terdapat burger daging, telur dan ayam tetapi anak muda berusia 20 tahun itu mencari kelainan dengan menyediakan hidangan burger berasaskan daging rusa dan arnab.

Selain daging rusa dan arnab, Azwan Ali yang lebih mesra dengan panggilan Wan Burger turut mempromosikan burger daging burung unta dan kambing.

"Saya ingin mencari kelainan daripada peniaga lain selain mengubah cita rasa penggemar burger di sini yang sebelum ini hanya menikmati sajian berasaskan daging lembu dan ayam.

"Saya bersyukur kerana menu di gerai ini mendapat sambutan di kalangan penduduk tanpa mengira kaum dan usia," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurutnya, semua daging yang telah siap dimasak diperap di dalam sos lada hitam terlebih dahulu sebelum dihidangkan kepada pelanggan.

Azwan Ali berkata, dia turut menyediakan beberapa menu istimewa iaitu burger raksasa yang menggunakan tiga keping daging dan roti sebesar piring serta burger patayya yang disalut dengan telur selain char kue teow.

"Saya memulakan perniagaan pada pukul 8 malam setiap hari sehingga awal pagi. Alhamdulillah saya dapat menjual kira-kira 80 biji burger setiap hari," katanya.

Tambahnya, minat untuk menjual burger bermula setelah mempelajarinya daripada seorang kawan yang kini menetap di Kuala Lumpur.

"Sebelum ini, saya bekerja di kedai barangan elektronik selama tiga tahun sebelum kawan saya mengajar cara membuat burger dan char kue teow ," katanya.

Tambahnya, berbekalkan nasihat dan dorongan daripada kawan-kawan, dia mengeluarkan modal RM12,000 untuk membina gerai yang serba merah dan terletak di sebelah stesen minyak Shell di bandar ini.

Ditanya mengenai perancangan masa depannya, dia bercadang untuk memiliki sebuah kedai makanan Barat di sini dengan menyediakan pelbagai makanan dan hidangan yang belum terdapat di bandar ini.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment