Friday, March 4, 2011

Menyamar Pegawai JKM


Menyamar orang JKM, tipu wang

KAMPAR – Orang ramai diminta lebih berwaspada berikutan penahanan seorang suspek yang menyamar sebagai kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pegawai JKM Daerah Kampar, Nor Ngafifah Mahamad Basar berkata, suspek itu dipercayai memperkenalkan diri sebagai pegawai atau kakitangan JKM bagi mendekati orang ramai bagi menipu mendapatkan wang.

Menurutnya, kes itu kini berada dalam siasatan polis dan berharap agar orang ramai sentiasa berwaspada agar tidak terpedaya dengan taktik yang digunakan.

“Wang yang diminta itu dikatakan sebagai kegunaan pembayaran proses permohonan bantuan, ini semua helah yang sengaja dicipta.

“Kes ini telah berlaku di Jeram baru-baru ini, jadi saya nasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan taktik seperti itu,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui, di sini, semalam.

Ngafifah berkata, dalam kes berkenaan seseorang yang menyamar sebagai kakitangan JKM datang menemui pemohon dan meminta pemohon menjelaskan sejumlah bayaran yang akan digunakan untuk urusan pemprosesan.

Menurutnya, sebagai kakitangan kerajaan, pihak jabatannya tidak pernah menjalankan sebarang kutipan atau mahukan pemohon menjelaskan bayaran tertentu apatah lagi bertujuan melancarkan permohonan.

JKM, kata beliau, tidak pernah mewakilkan mana-mana pihak untuk membuat kutipan kepada pemohon bantuan.

“Kita tidak pernah memohon sebarang bayaran sebaliknya, JKM memainkan peranan memberi bantuan kepada mereka yang layak,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ngafifah menyarankan semua penerima bantuan JKM yang menggunakan perkhidmatan akaun bank membuka buku akaun BSN Giro-i di Bank Simpanan Nasional terdekat.

Langkah itu, katanya, selaras dengan penyelarasan yang akan dibuat jabatan terhadap mana-mana bentuk bayaran bantuan JKM.

Bagi mereka yang memerlukan maklumat dan penjelasan lanjut, boleh menghubungi Pejabat JKM Daerah Kampar di talian 05-4653133 .

No comments:

Post a Comment