Monday, March 7, 2011

Saddam Maut Merempit


'Saddam Hussein', rakan maut merempit


SEORANG anggota polis trafik menunjukkan motosikal yang ditunggangi Muhammad Saddam Hussein dan Mohd. Faiz Ahmad yang maut di Batu Pahat, semalam.

BATU PAHAT 6 Mac - Seorang pemuda bernama Muhammad Saddam Hussein dan rakannya maut setelah motosikal yang mereka tunggang ketika sedang berlumba terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 76.1, Lebuh Raya Utara-Selatan, Machap-Ayer Hitam, dekat sini, hari ini.

Ketika kejadian pukul 2.30 pagi itu, Muhammad Saddam, 20, dan rakannya, Mohd. Faiz Ahmad, 19, menunggang motosikal Yamaha RXZ bersama kira-kira 20 penunggang lain.

Semasa melalui lokasi tersebut, motosikal salah seorang mangsa bergesel dengan sebuah kereta Proton Exora ketika cuba memintasnya lalu berlanggar dengan kenderaan seorang lagi mangsa.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Supritendan Adnan Azizon berkata, kedua-dua mangsa lalu melanggar pembahagi jalan sebelum tercampak di atas jalan.

Katanya, mayat kedua-duanya ditinggalkan rakan-rakan mereka yang bertindak melarikan diri menerusi jalan-jalan 'tikus' di sekitar lebuh raya itu.

"Kes itu juga menunjukkan terdapat trend baru mat rempit, dengan beralih untuk berlumba di lebuh raya.

"Ada kemungkinan mereka beralih tempat kerana operasi dijalankan di lokasi biasa di sekitar jalan bandar terutamanya di Jalan Kluang," katanya kepada pemberita selepas Program Polis Bersama Pelanggan di sini, hari ini.

Dalam kes berasingan, Adnan memberitahu, dua remaja termasuk seorang pelajar sekolah menengah maut setelah motosikal ditunggang masing-masing bertembung di Jalan Tanjong Labuh, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 2.20 pagi itu, motosikal ditunggang seorang pengawal keselamatan berusia 19 tahun dikatakan memasuki jalan dari arah bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal seorang pelajar sekolah berusia 17 tahun.

Kedua-duanya disahkan meninggal dunia setelah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Batu Pahat.

No comments:

Post a Comment