Wednesday, March 23, 2011

Tipu RM300,000.00 Dalam Internet


Ditipu rakan Internet RM300,000

KUALA LUMPUR 22 Mac - Terpesona dengan janji-janji manis lelaki yang dikenalinya menerusi sebuah laman sembang Internet, seorang wanita mendakwa dirinya kerugian RM300,000 akibat ditipu.

Mangsa yang bekerja sebagai kerani dan hanya mahu dikenali sebagai Azlina, 49, berkata, dia diperdayakan lelaki yang dikenali sebagai Hassan William yang tidak pernah ditemuinya.

Katanya, perkenalan dengan ahli perniagaan berusia 50 tahun dari Amerika Syarikat (AS) itu bermula pada September lalu.

"Kami berkomunikasi melalui laman sembang itu dan juga menerusi panggilan telefon setiap hari. Oleh kerana dia sering membincangkan soal agama, saya jadi yakin dia seorang lelaki Islam yang taat, sekali gus hati menambat hati saya.

"Malah, saya tidak bertepuk sebelah tangan apabila dia melamar saya serta mahu membawa saya berhijrah ke AS sesudah kami berkahwin nanti," katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA di sini hari ini.

Bagaimanapun, sangkaan Azlina itu meleset apabila mengetahui Hassan sebenarnya mahu menipu dia untuk mendapatkan wangnya.

"Bulan November lalu, Hassan mahu meminjam wang kerana perniagaannya dikatakan mengalami masalah kewangan.

"Kerana termakan dengan pujuk rayu lelaki itu, lebih daripada 25 transaksi wang ke beberapa akaun bank luar negara berjumlah RM300,000 dilakukan," ujarnya.

Bagaimanapun, Azlina menyedari dia telah ditipu apabila mendapat panggilan telefon pada Sabtu lalu daripada seorang lelaki yang tidak dikenali yang mendakwa dari St. Mark's Hospital Atlanta Georgia.

"Pemanggil yang kedengaran bercakap dalam bahasa Afrika itu memberitahu bahawa Hassan telah meninggal dunia disebabkan oleh satu serangan bersenjata," jelasnya yang kemudiannya membuat satu laporan polis berhubung penipuan itu.

Ketua Jabatan Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, ini merupakan kes ketiga tahun ini yang dirujuk kepadanya melibatkan kerugian lebih RM2.4 juta.

Michael berkata, sindiket ini dipercayai berada di dalam negara dan menjadikan wanita berusia lingkungan 30-an dan 40-an dan tidak berkahwin sebagai mangsa.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment