Buka semula Zoo Temerloh
PIHAK berkuasa tempatan diminta membuka semula Zoo Mini yang terletak di Jalan Bahagia, Temerloh setelah tidak beroperasi sejak sekian lama.
Penutupan zoo tersebut menyebabkan pengunjung mengeluh kerana tidak dapat membawa anak-anak beriadah terutama pada hujung minggu.
Selain itu, Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) disaran mewujudkan zoo malam seperti dicadangkan oleh bekas Yang Dipertua MPT, Datuk Zulkifli Yaakob pada Julai 2009.
Zoo mini itu merupakan salah satu daya tarikan orang ramai untuk bersantai dan beriadah bersama ahli keluarga.
Sejak zoo itu ditutup, ia kelihatan suram dan ramai pengunjung yang datang pulang dengan perasaan hampa kerana tidak tahu taman haiwan itu tidak lagi beroperasi.
Misalnya, pada cuti perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini, ramai pengunjung datang ke daerah Temerloh kerana pulang bercuti di kampung halaman masing-masing.
Mereka membawa ahli keluarga terutama anak-anak untuk melihat pelbagai spesies haiwan secara lebih dekat, malangnya, hasrat itu tidak kesampaian kerana zoo tersebut ditutup.
Zoo mini itu boleh dijadikan salah satu produk pelancongan daerah ini dan sepatutnya dimajukan lagi.
Ia perlu diuruskan dengan baik kerana zoo itu menjadi tumpuan orang ramai termasuk dari daerah lain seperti Jerantut, Maran, Bentong, Raub dan Lipis.
Saya berharap MPT dapat merealisasikan zoo malam itu seperti dirancang kerana ia adalah daya tarikan baru kepada daerah Temerloh dan pastinya mendapat sambutan baik daripada orang ramai.
Difahamkan, zoo berkeluasan satu hektar itu diambil alih oleh MPT daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi tujuan mewujudkan zoo malam.
Penduduk kini menunggu wujudnya zoo malam untuk melihat haiwan seperti ular, buaya dan bermacam-macam lagi.
Dengan adanya zoo malam itu, orang ramai dapat melihat sendiri bagaimana kehidupan haiwan liar tersebut pada waktu malam.
Saya berharap MPT mencontohi Majlis Perbandaran Taiping dan Majlis Perbandaran Kemaman yang berjaya mewujudkan zoo masing-masing.
Kita mahu melihat Zoo Temerloh menjadi zoo terbesar di Pahang dan terkenal seperti taman haiwan sedia ada di negara ini.
No comments:
Post a Comment